Datuk Johari akan lepas jawatan Pengarah Urusan KFCH
Pengarah Urusan Kumpulan KFC Holdings (Malaysia) Bhd (KFCH), Datuk Johari Abdul Ghani akan meletakkan jawatannya selepas selesai penjualan saham miliknya dalam syarikat makanan segera tersebut.
Pengarah Urusan Kumpulan KFC Holdings (Malaysia) Bhd (KFCH), Datuk Johari Abdul Ghani akan meletakkan jawatannya selepas selesai penjualan saham miliknya dalam syarikat makanan segera tersebut.
Beliau memberitahu TV3 malam tadi, beliau sudahpun mendapat kelulusan daripada Yum! Brands, Inc. untuk menjual saham pegangannya kira-kira 5 peratus dalam KFC Holding.
Johari menegaskan demikian sebagai mengulas keputusan Lembaga pengarah KFCH dalam mesyuaratnya semalam, yang menyelarnya kerana kenyataannya yang mengkritik rancangan syarikat itu untuk melaksanakan tawaran persendirian.
Satu kenyataan semalam, lembaga pengarah KFCH berkata kenyataan oleh Johari tidak mendapat keizinan daripada pihaknya.
Sebelum ini, Johari mengkritik rancangan KFCH untuk mengumpul dana daripada jualan saham baru, dan menyifatkannya sebagai langkah "tidak bijak" oleh sebuah firma yang mempunyai banyak wang.
Pada 15 Jun, KFCH telah mencadangkan pelaksanaan tawaran persendirian hingga 10 peratus daripada 198 juta modal saham terbitan dan berbayar syarikat itu bagi mengumpul dana untuk membayar pinjaman.
Cadangan tawaran itu telah diluluskan oleh pemegang saham dalam mesyuarat tahunan pemegang saham pada 28 April lalu.
Kuasa ditarik balik
Lembaga Pengarah itu berkata mereka melihat laporan-laporan akhbar berhubung kenyataan Johari tentang cadangan tawaran persendirian yang akan dilaksanakan oleh syarikat itu.
Johari dilaporkan berkata, kelulusan bagi pelaksanaan tawaran itu oleh pihak lembaga tidak dibuat dengan betul, iaitu melalui resolusi yang diberikan kepada pengarah, bukan melalui mesyuarat lembaga seperti lazimnya.
Beliau juga berkata, ini bukanlah masa yang sesuai bagi syarikat itu melaksanakannya, khususnya ketika harga sahamnya rendah iaitu kira-kira RM3 sesaham.
Saham-saham KFCH, yang diurus niaga semula hari ini, ditutup lapan sen lebih tinggi kepada RM3.36 dengan 10.385 juta saham diniagakan.
Dalam buletin tengah malamnya, TV3 memetik Johari sebagai berkata, pihak lembaga pengarah telah menarik kuasanya sebagai pengarah urusan KFCH tanpa memberi sebarang alasan.
Johari juga menjelaskan, selama ini, beliau tidak mempunyai platform untuk menjelaskan pendiriannya mengenai perkara tersebut kepada pihak lembaga pengarah KFCH.
Berikutan itu, katanya, apabila pemberita menghubunginya mengenai perkara tersebut, beliau telah menyatakan pandangannya sepertimana yang dilaporkan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.