Pilihanraya UKM: Umno nafi derma RM30 ribu
Pergerakan Pemuda Umno menafikan pernah menyumbang sejumlah wang kepada sekumpulan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia bagi membantu kempen pilihanraya majlis perwakilan pelajar kampus itu pada 22 November lalu.
Surat bertarikh 10 November lalu, dengan nombor rujukan UKM 3.3.1/371/2 menyebut Pemuda Umno dalam mesyuarat dua hari sebelumnya bersetuju meluluskan wang sebanyak RM30,000 bagi membantu pilihan raya kumpulan 'Tindakan Siswa Bersatu' (TSB).
Setiausaha Pemuda, Zulkifli Alwi menafikan kandungan surat itu, sambil menyifatkan surat bertajuk 'Bantuan wang pilihanraya' sebagai "satu lagi perbuatan jelek yang cuba memburuk-burukkan parti" itu.
"Kita (Umno) telah menerima beribu-ribu surat layang dan terserah kepada rakyat untuk menilai," jelas Zulkifli kepada malaysiakini tengahari ini.
Beliau berkata pergerakan itu "malas hendak melayan" surat-surat seumpama itu.
Dalam surat itu, Presiden Kelab Perucapan Umum UKM, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, juga didakwa sebagai pemimpin utama TSB, telah diarahkan oleh Penolong Pengarah Unit Perhubungan Pelajar (UPP) universiti itu, Mohd Jamal Ali agar "mengambil wang tersebut dengan segera di Unit Kewangan Pelajar dengan kelulusan HEP (Hal Ehwal Pelajar)."
Malaysiakini gagal mendapatkan ulasan Mohd Jamal kerana dimaklumkan beliau masih bercuti sehingga minggu depan.
Pengarah UPP, Abd Aziz Abu Bakar mengesahkan penyebaran surat ini di masjid UKM ketika kempen pilihanraya tersebut. Beliau bagaimanapun menafikan keseluruhan kandungannya dan menjelaskan perkara tersebut telah diketahui oleh HEP.
"UPP tidak bercadang mengambil tindakan (terhadap penyebar surat itu) kerana ini merupakan 'mainan politik pelajar'," jelasnya, apabila ditanya berhubung siasatan terhadap surat itu.
Abd Aziz menjelaskan sebarang bentuk bantuan daripada parti politik kepada pelajar adalah "salah" tetapi beliau tidak menyebutkan kesalahan itu menurut peraturan tertentu.
Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang sebarang bentuk hubungan antara parti politik dan pelajar kecuali dengan kebenaran pihak universiti.
Dalam pilihanraya itu, kumpulan 'Islam Penyelamat Ummah' (IPU) mengalahkan musuh tradisinya TSB dengan menyapu bersih 42 kerusi peringkat fakulti dan 9 kerusi umum. [[#1]Kumpulan Islam kuasai PMUKM[/#], Nov 23]
Tahun lalu, TSB berjaya memenangi dua kerusi di peringkat fakulti undang-undang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.