PAS Terengganu tetap bertegas bahawa bangunan yang dirobohkan oleh kerajaan negeri di Rancangan Tanah Berkelompok Kampung Bujal, Kemaman bulan lalu adalah sebuah masjid.

Sehubungan itu, Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Datuk Hussin Awang menyahut cabaran Umno untuk bersumpah bagi menegak dakwaannya (bahawa bangunan itu adalah sebuah masjid).

"PAS boleh bersumpah pada bila-bila masa bagi menunjukkan bahawa apa yang kami nyatakan itu adalah benar," katanya hari ini

Hussin menegaskan demikian sebagai mengulas cabaran Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari Negeri, Ahmad Kamal Abdullah supaya pemimpin PAS bersumpah dengan menjunjung al-Quran jika benar bangunan yang dirobohkan itu adalah sebuah masjid.

Ahmad Kamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sura membuat cabaran itu ketika berceramah di Besut empat hari lalu.

Beliau yakin tidak ada pemimpin PAS berani menyahut cabarannya kerana mendakwa "mereka tidak akan mampu membuktikan premis itu sebuah masjid kerana pembinaannya tidak mendapat kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu, Mufti atau Jawatankuasa Fatwa negeri".

Hussin bagaimanapun berkata cara bersumpah dengan menjunjung al-Quran tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah dan beliau belum menjumpai sebarang nas yang menunjukkan perkara itu pernah dilakukan pada zaman itu.

"Tetapi kalau ia tidak bercanggah dengan hukum syarak, Dewan Ulama PAS pada bila-bila masa boleh berbuat demikian," katanya.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, pihaknya sedang menunggu surat jemputan rasmi daripada Umno berhubung perkara itu.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pihaknya menyokong kesediaan Dewan Ulama PAS negeri menyahut cabaran Umno berhubung isu itu.