Timbalan Menteri S Sothinathan digantung tiga bulan
Setiausaha Agung MIC, Datuk S Sothinathan digantung daripada jawatan timbalan menteri selama tiga bulan berikutan kenyataan kerasnya sewaktu perbahasan di Dewan Rakyat berhubung isu penarikan balik pengiktirafan terhadap Universiti Perubatan Crimea State (CSMU).
Setiausaha Agung MIC, Datuk S Sothinathan digantung daripada jawatan timbalan menteri selama tiga bulan berikutan kenyataan kerasnya sewaktu perbahasan di Dewan Rakyat berhubung isu penarikan balik pengiktirafan terhadap Universiti Perubatan Crimea State (CSMU).
Majlis Perubatan Malaysia (MMC) telah menarik balik pengiktirafannya terhadap universiti di Ukraine itu kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengajarannya dalam bidang berkenaan.
Keputusan menggantung Sothinathan dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini, berkuatkuasa serta-merta. Sothinathan adalah Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli.
Semalam, 'pertikaman lidah' yang tercetus antara Sothinathan dengan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk, Dr Abdul Latiff Ahmad tidak disenangi oleh berapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Keadaan bertambah buruk apabila berlaku insiden jerit-menjerit membabitkan penyokong kerajaan dan pembangkang.
Sothinathan bangun mencelah ketika Dr Abdul Latiff sedang menjawab berhubung perkara-perkara yang dibangkitkan mengenai keputusan MMC menarik balik pengiktirafan terhadap CSMU.
Dua lagi ahli Parlimen terbabit
Sementara itu, tidak diketahui sama ada tindakan disiplin akan diambil terhadap ahli Parlimen K Devamany (BN-Cameron Highlands) dan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang turut terbabit dalam perbahasan tersebut.
Awal pagi ini, Kulasegaran memberitahu satu sidang akhbar bahawa beliau difahamkan beliau mungkin dirujukkan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen untuk dikenakan tindakan disiplin.
Baru-baru ini Kementerian Kesihatan membuat keputusan bahawa program ijazah perubatan CSMU tidak lagi diiktiraf mulai 31 Disember ini bagi menjaga kepentingan lebih 1,366 pelajar tempatan yang sedang mengikuti pengajian di universiti itu.
Antara sebab yang diberi oleh MMC berhubung tindakannya itu ialah kemungkinan kemerosotan kualiti pengajian di universiti itu.

