Malik tak perlu gelabah, kata Pemuda Umno P Pinang
Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim menasihati exco agama di negeri itu, Datuk Abdul Malik Kassim supaya tidak 'terlalu gelabah' berhubung isu campur tangan fatwa di negeri itu.
Rafizal berkata, surat yang dihantar Abdul Malik kepada mufti Pulau Pinang seperti didedahkan pengerusi Perhubungan Umno negeri itu semalam, adalah jelas menunjukkan campur tangan kerajaan negeri terhadap pentadbiran agama Islam.
"Jika YB Malik Kassim terlupa, surat yang didedahkan ini adalah surat daripada pejabat beliau sendiri yang tidak mampu pun orang Umno mendapat sesalinan apatah lagi mendedahkannya.
"Bagi Pemuda Umno negeri ini bukanlah satu pendedahan atau tuduhan kosong tetapi surat YB Malik Kassim bertarikh 26hb Mei 2010 telah "bercakap dengan sendirinya"," katanya pada kenyataan media.
Kelmarin, Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata surat Malik bertarikh 26 Mei itu 2010 adalah bukti wujudnya campur tangan tersebut.
Terdahulu, ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang, Datuk Md Salleh Ahmad mengakui berlaku campur tangan kerajaan negeri dalam proses penfatwaan seperti dibangkitkan PAS Pulau Pinang.
Kata Md Salleh, Abdul Malik mengarahkan supaya isu penggunaan kalimah Allah yang sudah diwartakan, dibincangkan semula agar ia selari dengan pendirian kerajaan negeri.
Kejadian itu, katanya, berlaku pada 2010.
Bagaimanapun Malik menegaskan, tidak ada campur tangan dalam proses penfatwaan seperti yang dibangkitkan.
Sebaliknya Abdul Malik berkata, apa yang berlaku hanyalah keinginan kerajaan supaya mufti yang mempengerusikan majlis fatwa membincangkan keputusan mereka dengan kehadiran wakil kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Rafizal berkata adalah jelas bahawa kerajaan negeri telah mencampuri pentadbiran agama Islam dan perkara-perkara yang berhubungkait dengannya.
"Ini cukup berbeza dengan pendekatan dan amalan urus tadbir agama Islam di bawah kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum tahun 2009.
"Akhir sekali Pemuda Umno negeri ingin menasihati YB Abdul Malik Kassim agar tidak terlalu gelabah dan panik apabila salahlaku kerajaan negeri Pulau Pinang terus menerus didedahkan.
"Sebaliknya beliau perlu bertaubat serta insaf dalam memastikan pentadbiran Agama Islam bukan ditadbir dan ditentukan oleh "orang bukan islam"," kata Rafizal.

