JPA berhenti beri pinjaman lanjut pelajaran ke Russia dan Ukraine
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberhentikan pemberian pinjaman pendidikan kepada pelajar yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di Rusia dan Ukraine, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberhentikan pemberian pinjaman pendidikan kepada pelajar yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di Rusia dan Ukraine, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, tindakan tersebut dibuat berikutan kajian semula JPA berhubung penghantar pelajar ke Russia berikutan laporan berhubung keselamatan pelajar Malaysia yang menuntut di kedua-dua negara tersebut, pada hujung tahun lalu.
Dalam jawapan bertulisnya kepada M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) di Dewan Rakyat, Perdana Menteri berkata, JPA telah memberi biasiswa kepada 282 pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka di Russia, iaitu 214 pelajar Bumiputera dan 68 bukan bumiputera.
Kulasegaran ingin tahu mengenai dasar baru JPA berhubung pemberian pinjaman pendidikan kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Russia dan Ukraine, jumlah biasiswa kepada pelajar di dua negara tersebut dan pecahan penerimanya sejak lima tahun lalu mengikut kaum.
Abdullah berkata, JPA mula memberi biasiswa untuk mengikuti pengajian perubatan di Russia hanya pada tahun 2002 dan tidak ada biasiswa yang diberikan kepada pelajar di Ukraine.
Dinilai terlebih dahulu
Sementara itu, ketima menjawab soalan Loh Seng Kok (BN-Kelana Jaya), Abdullah berkata, sehingga ini, kerajaan telah mengiktiraf 28,251 bidang pengajian yang ditawarkan universiti luar negara.
Bidang tersebut ialah Kesusasteraan dan Sains Sosial(11,960), Sains(9,706), Teknikal dan Kejuruteraan (6,049), Perubatan(288), Farmasi(70), Pergigian(138) dan Para-Perubatan (40).
Menurut Perdana Menteri, pada prinsipnya, kerajaan telah memberi pengiktirafan itu supaya graduan terbabit boleh berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Katanya, kelayakan mereka akan dinilai terlebih dahulu dari segi kesesuaian dan keperluan perkhidmatan awam.
Katanya, kerajaan akan memberi pengiktirafan itu melalui Jawatankuasa Tetap Penilaian dan Pengiktirafan yang dipengerusi oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Mohamed Salleh.
Selangor ikut jejak
Sementara itu, Kerajaan Selangor membuat keputusan untuk menghentikan program penghantaran pelajar perubatan tajaannya ke CSMU setelah MMC menarik balik pengiktarafannya terhadap program universiti itu.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Khir Toyo bagaimanapun berkata kerajaan negeri akan terus menghantar pelajarnya ke universiti lain di Rusia.
Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau berkata 25 pelajar yang masih menuntut di CSMU merupakan kumpulan terakhir yang akan dibiayai oleh kerajaan negeri di universiti itu manakala 13 pelajar lagi akan dihantar ke universiti lain di Rusia seperti Russian State Medical
University, sebuah institut tersohor dalam bidang perubatan, September ini.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco hari ini, Dr Mohamad Khir berkata program penghantaran pelajar ke Rusia akan diteruskan bagi tujuan kepelbagaian selain berkaitan dengan soal kos.
"Lagi banyak tempat kita belajar lagi baik. Kita dapat pengalaman doktor dari pelbagai negara seperti Rusia, Indonesia dan New Zealand, ini dapat beri faedah lebih baik kepada kita mengenai jenis dan kaedah rawatan," katanya.
Mohamad Khir berkata pelajar di CSMU sedia ada tidak perlu bimbang kerana mereka masih diikitiraf oleh MMC dan akan memperolehi pekerjaan apabila pulang kelak kerana negara ini amat memerlukan pakar perubatan.
"Tambahan pula, kumpulan pelajar Selangor itu merupakan antara pelajar terbaik di universiti itu," katanya.
Mohamad Khir berkata beliau akan mengunjungi CSMU tidak lama lagi bagi menemui pelajar terlibat bagi menjelaskan kedudukan mereka.

