Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mursyidul Am PAS berkata, mana mungkin beliau masih kekal menggunakan kereta Proton Saga dan memiliki rumah sederhana jika dakwaan ADUN Salor Datuk Husam Musa mengenai dana RM90 juta itu benar.

Hashim Jasin berkata, beliau kini hanya memiliki sebuah kereta Proton Saga dan rumah yang hanya bernilai RM60,000.

“Saya ni Mursyidul Am dan (Datuk Abdul) Hadi Awang Presiden PAS. Saya pakai kereta (Proton) Saga je. Kalau ada RM90 juta, tak kan saya pakai kereta Saga je. Itu terjawablah rasanya.

“Rumah saya pun dalam nilai RM50,000 hingga RM60,000 sahaja. kalau kami (PAS) ada RM100 juta, apa nak jadi, kolam renang tiga saya akan buat,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Kebajikan PAS di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini.

Hashim berkata demikian mengulas dakwaan Husam bahawa ADUN Salor itu mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

Kata Husam, dana berkenaan disalurkan ke akaun di Affin Bank.

Sementara itu, PAS akan melihat perkembangan akhir sebelum sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) jika PKR masih lagi menjalinkan kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ia kerana dasar PAS menolak kedua-dua parti berkenaan dan enggan bekerjsama dengan mana-mana pihak yang menjalinkan hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH), jelas Hashim.

“Dasar pokok kita iaitu kita putus hubungan dengan DAP dan AMANAH dan kita juga tidak akan kerjasama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan parti-parti tersebut.

“Sekarang ini belum nampak lagi parti-parti itu bekerjasama dengan berterusan dengan dua parti yang kita tolak tadi sebelum PRU banyak lagi perkembangan yang akan berlaku,” katanya.

Katanya, jika di saat akhir PKR berkeras dan masih ingin bekerjasama dengan DAP dan AMANAH, maka PAS tidak teragak-agak untuk mengikut dasar yang telah dipersetujui dalam parti Islam itu.

Hashim juga enggan mengulas mengenai tawaran tempoh sebulan yang diberikan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana di luar bidang tugasnya.

“Saya dalam anggota Syura, tanggungjawab kami bukan menentukan dengan siapa kita nak bekerjasama.

“Tanggungjawab kami hanya jika ada cadangan dari jawatankuasa pusat untuk nak melakukan atau mengadakan satu dasar, mereka akan serahkan kepada kepada Syura dan Syura akan pastikan sama ada ia bertepatan dengan Syariah atau tidak.

"Kalau tidak kita akan bagi balik supaya tidak dilaksanakan. Kalau tidak bercanggah , OK jalan je,” katanya.

Lihat Komen
ADS