Lembaga Disiplin Umno tangguh kes Zahidi, Amil
Lembaga Disiplin Umno terpaksa menangguhkan perbicaraan terhadap Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Amil Salleh kerana tidak sempat mendapatkan keterangan dari semua saksi semalam.
Lembaga Disiplin Umno terpaksa menangguhkan perbicaraan terhadap Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Amil Salleh kerana tidak sempat mendapatkan keterangan dari semua saksi semalam.
Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tun Zaki Azmi berkata, masa sehari tidak cukup untuk mendengar penjelasan daripada kira-kira 40 saksi dalam kedua-dua kes tersebut.
"Saksi terlalu ramai...berpuluh orang dan terpaksa ditangguhkan. Lagipun kami ada kerja lain," katanya ketika ditemui di Bangunan Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kira-kira jam 4 petang tadi.
Beliau berkata demikian selepas mendengar penjelasan kira-kira sejam daripada Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar kerana didakwa melanggar peraturan Mesyuarat Umno Bahagian Padang Besar, 15 Mei lalu.
Selain Zaki, ahli Lembaga Disiplin Umno lain yang mendengar kes tersebut ialah Datuk Mohd Zain Hassan dan Datuk Rahim Mohamad.
Kedua-dua mereka - Zahidi dan Amil - didakwa melanggar salah laku dalam mesyuarat bahagian masing-masing yang diadakan pada 15 Mei lalu. Bagaimanapun, Amil tidak dipanggil tetapi difahamkan beliau akan memberi keterangan minggu depan.
Sementara itu Mohd Zain berkata, hanya sebahagian daripada 40 saksi kedua-dua kes tersebut dipanggil untuk memberi keterangan hari ini.
Bagaimanapun, Amil tidak dipanggil tetapi difahamkan beliau akan memberi keterangan minggu depan.
Ucapan dasar
Zahidi didakwa memberi ucapan dasar semasa Mesyuarat Agung Umno bahagian tersebut pada 15 Mei lalu yang disifatkan sebagai memperkecil-kecilkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan, Shukri Ahmad.
"Saya dikatakan memberi komen mengenai satu projek pembangunan yang mahu dilakukan oleh Shukri yang menyebabkan penyokong Shukri membuat aduan kepada Lembaga Disiplin Umno.
"Komen itu disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan dan dijadikan asas oleh Lembaga Disiplin untuk mendakwa saya melanggar peraturan mesyuarat parti," katanya ketika ditemui selepas memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin.
Shukri adalah orang yang menentang Zahidi dalam pemilihan Ketua Bahagian Umno Padang Besar tahun lalu tetapi tewas.
Zahidi berkata, Lembaga Disiplin mendakwa ucapan beliau tersebut bercanggah dengan kenyataan awal yang dibuat oleh Shukri di dalam satu majlis berasingan di Kangar.
Mesyuarat Umno Bahagian Padang Besar telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Mencampuri urusan pemilihan
Amil pula dipanggil oleh Lembaga Disiplin Umno kerana didakwa mencampuri urusan pemilihan Kumpulan Tujuh (G7) Umno Bahagian Bandar Tun Razak yang diadakan 15 Mei lalu.
Amil mendakwa, bekas Setiausaha Umno bahagian, Zaharin Mohd Yassin membuat aduan kepada Lembaga Disiplin Umno mengatakan beliau menggunakan pengaruhnya sebagai ketua bahagian untuk mencampuri pemilihan G7.
Dalam perjumpaan anjuran Umno bahagian itu yang diadakan di Bukit Kiara Golf Club Amil yang ketika itu digantung sebagai ketua bahagian kerana terlibat dengan politik wang dalam pemilihan tahun lalu memberi ucapan yang dianggap hendak mempengaruhi pemilihan G7.
"Zaharin dalam aduannya kepada Lembaga Disiplin juga mendakwa saya telah melanggar peraturan parti kerana menghadiri majlis tersebut kerana saya masih digantung sebagai Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak," katanya.
Bagaimanapun, Amil mendakwa tindakannya itu tidak salah kerana surat penggantungan yang diterima dari Ibu Pejabat Umno mengatakan memberi ucapan dalam mjalis bukan mesyuarat parti adalah dibenarkan.
Beliau berkata, tindakan penggantungan yang dikenakan ke atas beliau ialah beliau tidak boleh memilih, menjadi calon dan berkempen dalam mesyuarat dan pemilihan Umno Bahagian Bandar Tun Razak.

