Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata penggantungan Setiausaha Agung parti itu Datuk S. Sothinathan daripada jawatannya sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar selama tiga bulan, berkuatkuasa serta-merta, adalah hak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Samy Vellu, yang juga Menteri Kerjaraya, berkata, Abdullah berhak untuk mengambil sebarang keputusan kerana selaku Perdana Menteri, beliau berkuasa untuk melantik menteri dan timbalan menteri selain anggota kerajaan yang lain, demikian menurut kenyataannya yang dikeluarkan oleh Setiausaha Skhbarnya, E. Sivabalan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Bernama, beliau berkata dengan penggantungan itu, Sothinathan boleh memberi perhatian yang lebih terhadap tugas parti sepanjang tempoh penggantungan itu.

Samy Vellu berkata kejadian itu berpunca daripada perhatian serius yang diambil oleh MIC terhadap isu pemberhentian pengiktirafan ijazah Crimea State Medical University (CSMU) di Ukraine oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) baru-baru ini.

Berhubung kes CSMU itu, Samy Vellu berkata beliau akan membentangkan isu itu kepada mesyuararat Kabinet minggu depan memandangkan Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek tidak hadir pada mesyuarat kabinet hari ini kerana berada di luar negara.

Tindakan terhadap Sothinathan (foto) itu diumumkan hari ini oleh Perdana Menteri akibat kelantangannya di Dewan Rakyat semalam berhubung penarikan pengiktirafan ijazah perubatan CSMU.

Timbalan Menteri itu menimbulkan rasa tidak senang di kalangan penyokong BN semalam apabila menyampuk semasa Timbalan Menteri Kesihatan Dr Abdul Latiff Ahmad sedang memberi penjelasan mengenai keputusan menarik pengiktirafan ijazah perubatan CSMU itu.

'Jejas pelajar India'

Sothinathan berkata MIC prihatin terhadap nasib pelajar India dan penarikan pengiktirafan itu akan menjejaskan pelajar India yang dikenal pasti sebagai paling ramai menuntut di unversiti itu.

Sementara itu Abdullah berkata Sothinathan akan memegang semula jawatan itu selepas tamat tempoh penggantungannya.

"Sebagai anggota kerajaan beliau tidak harus mengambil pendirian mengkritik kerajaan. Ini melanggar disiplin parti," kata Abdullah kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pelabur diadakan bersempena Mesyuarat Tahunan Bank Pembangunan Islam (IDB).

Perdana Menteri berkata Sothinathan, 45, kekal sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional bagi Teluk Kemang, kerusi yang beliau pertahankan dalam Pilihanraya Umum 2004. Difahamkan keputusan penggantungan itu dicapai di mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Abdullah berkata Sothinathan, setiausaha agung MIC, mungkin anggota pertama pentadbiran Malaysia yang digantung jawatan.

Semalam, Dr Abdul Latiff memberitahu Dewan Rakyat, mereka yang mengikuti pengajian perubatan di universiti yang tidak diiktiraf diberi peluang membuat amalan dengan menduduki peperiksaan kelayakan dikendali oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Komen beliau bahawa kira-kira 200 doktor seumpama itu adalah India dan semua ketua parti komponen BN, kecuali Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, menerima baik keputusan MMC, menyebabkan Sothinathan marah, lalu bangun dan berkata: "Kami (MIC) adalah parti dalam kerajaan yang mewakili masyarakat India...menjadi tugas kami membetulkan yang salah bila ia berlaku."

Universiti tidak jawab

Beliau seterusnya berkata beliau tidak setuju dengan kenyataan Dr Abdul Latiff bahawa majoriti daripada mereka yang lulus dari universiti yang tidak diiktiraf ialah India.

Beliau berkata, CSMU diberikan masa setahun untuk menjelaskan beberapa isu yang ditimbulkan oleh MMC, termasuk penerimaan masuk ke universiti itu pelajar aliran sastera yang gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti kursus pra-perubatan.

Universiti itu tidak memberi jawapan, kata beliau.

Sothinathan yang berucap semasa perbahasan, mempersoal tindakan Kementerian Pengajian Tinggi yang mengeluarkan surat "tidak membantah" kepada pelajar Malaysia yang tidak layak mengikuti kursus pra-perubatan di CSMU.

Sothinathan berkata beliau menimbulkan perkara itu kerana prihatin terhadap nasib pelajar India yang belajar di universiti tersebut.

Setakat ini, 1,157 pelajar Malaysia mengikuti pengajian di CSMU, terdiri daripada 581 India, 231 Melayu, 220 Cina dan selebihnya kaum-kaum lain.

Di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata beliau telah memberitahu Abdullah dan Ketua Whip Dewan Rakyat, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tentang apa yang berlaku di Dewan semalam.

"Saya telah juga berikan mereka hansard dan rakaman perjalanan sidang kepada Najib supaya beliau boleh beritahu Perdana Menteri.

Budi bicara PM

"Apa yang berlaku tak pernah terjadi sebelumnya dan beliau (Sothinathan) telah menyimpang dari kumpulan barisan dan beliau melakukan kesalahan, sebab itu saya fikir tindakan diambil terhadapnya ...itu budi bicara Perdana Menteri.

Beliau bagaimanapun berkata, Sothinathan tidak akan dirujuk kepada Jawatankuasa Keistimewaan oleh kerana beliau tidak ada melakukan sebarang kesalahan sebagai Ahli Parlimen (MP) dan kekal sebagai MP mewakili kawasannya.

"Keistimewaannya sebagai MP kekal...(tetapi) beliau tidak boleh menjawab mewakili Kementerian dalam Dewan. Dalam tiga bulan itu, kerusinya dipindahkan ke barisan penyokong kerajaan..." katanya.

Ditanya sama ada penggantungan itu dilihat sebagai amaran jangan membuat teguran sewenangnya, Mohamed Nazri berkata, "Itu bukan amaran tetapi tindakan diambil terhadap anggota barisan penyokong supaya tidak menyimpang dari barisan. Jika anda seorang anggota Pentadbiran, maka menjadi tanggungjawab anda mempertahankan pendirian, keputusan dan dasar Kerajaan.

"Jika anda tak setuju, anda letak jawatan ... sentiasa bercakap sebagai penyokong kerajaan".

Sementara itu, Pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BBC) Datuk Shahrir Samad berkata semua ahli Parlimen BN menyokong tindakan menggantung Sothinathan kerana tindakannya ternyata bertentangan dengan prinsip BN serta kedudukan beliau sebagai anggota kerajaan.

Shahrir: Bukan amaran

"Kita (BBC) telah mengadakan mesyuarat khas tengah hari tadi dan buat keputusan, sependapat keadaan seorang anggota pentadbiran mencabar dan menyoal seorang lagi anggota pentadbiran yang sedang menjawab di Parlimen bukan sesuatu yang patut dibiarkan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau berkata wakil MIC di mesyuarat itu juga bersetuju dengan tindakan menggantung jawatan Sothinathan, cuma beliau berharap kerajaan ada sifat timbang rasa dalam membuat keputusan itu.

Ditanya sama ada tindakan itu merupakan amaran kepada wakil rakyat BN, beliau berkata sebagai wakil rakyat BN terutama anggota Pentadbiran, mereka mesti menyokong dasar kerajaan dan bukan menentang.

Beliau menambah, Sothinathan sebagai seorang Timbalan Menteri, perlu sedar beliau bukan sahaja mewakili MIC tetapi juga kerajaan dan BN.

"Sebagai anggota Pentadbiran, tidak patut mencabar anggota Pentadbiran lain. Sebarang kehendak dan keperluan parti boleh dibincangkan di tempat lain yang sesuai," katanya.

Shahrir berkata semasa perbahasan, wakil rakyat BN tidak dilarang menyoal atau bersikap kritikal terhadap dasar kerajaan tetapi ia mestilah bertujuan untuk membantu dan bukan memalukan kerajaan.