Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Badan Perhubungan Umno Selangor hari ini sebulat suara menolak surat peletakan jawatan Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, keputusan untuk mengekalkan Jamal untuk jawatan tersebut dan pengerusi BN kawasan itu adalah atas dasar pencapaian beliau.

Namun begitu, Noh memberitahu, kata putus mengenai kedudukan Jamal selaku ketua Umno bahagian Sungai Besar terletak di tangan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Badan Perhubungan Umno Selangor sebulat suara membuat keputusan untuk kekalkan Jamal sebagai ketua Umno Sungai Besar dan pengerusi BN Sungai Besar.

"Bagaimanapun, keputusan kami tertakluk pada keputusan lebih tinggi iaitu Majlis Tertinggi Umno. Kita akan serahkan pada MT dan terpulang pada MT untuk menimbang surat yang diberi Jamal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bulanan Badan Perhubungan Umno Selangor di Shah Alam.

Selain itu, Noh yang juga pengerusi BN Selangor memberitahu, keputusan untuk menolak surat peletakan Jamal juga antaranya disebabkan kemenangan BN pada pilihan raya kecil Sungai Besar tahun lalu.

"Masa pilihan raya kecil Sungai Besar, komitmen Jamal yang menghasilkan keputusan pilihan raya kecil yang luar biasa.

"Sebab itu, kita rasa beliau masih layak menjadi ketua Umno bahagian dan pengerusi BN bahagian," kata Noh lagi.

Sehubungan itu, katanya, tindakan yang dilakukan Jamal sebelum ini adalah atas kapasiti NGO dan tiada kena mengena dengan parti.

"Apa dia buat, kita lihat dia pakai baju NGO. Amalan dalam Umno, selagi tak didakwa di mahkamah, tak ada sebab untuk letak jawatan.

"Apapun, kes Jamal kita serah pada pengurusan tertinggi dan kita akur apa jua keputusan MT," katanya lagi.

Pada Rabu lalu, Malaysiakini melaporkan, Jamal menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Noh di Putrajaya.

Keputusan itu dibuat selepas Jamal mengakui dirinya menjejaskan nama baik Umno dan kepimpinan tertinggi parti khususnya di Selangor.

Ia susulan beliau dibebaskan dari tahanan reman polis berhubung serbuan terhadap premis yang didakwanya sebagai sarang perjudian di Taman Kosas, Ampang.

Lihat Komen
ADS