Teka teki siapakah pemimpin kanan Umno yang menghadapi pertuduhan rasuah politik dan melanggar kod etika parti semasa pemilihan parti itu September lepas terjawab pagi ini.

Naib Presiden Umno Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dilihat hadir di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini tepat pukul 9 pagi ini bagi menghadap Lembaga Disiplin Umno untuk menghadiri apa yang dikatakan sebagai "sesi memberi penerangan".

Sesi ini dikatakan melibatkan pengumpulan keterangan daripada beliau setelah pertuduhan rasmi terhadapnya dibacakan.

Beliau yang memakai bush jaket berwarna kuning air, tiba di hadapan pintu utama menaiki kenderaan rasminya, Proton Perdana Eksekutif V6 berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WKY 9, sambil ditemani seorang pengawal peribadi.

Sejurus melangkah turun dari kenderaan itu, Isa disambut sekumpulan 20 hingga 30 lelaki dipercayai penyokongnya.

Mengukirkan senyuman, Isa bersalaman dengan penyokong dan pegawai dari kementeriannya sambil sekumpulan puluhan wartawan dan jurufoto serta krew televisyen dari semua media utama di negara ini termasuk Singapura memberikan tumpuan kepada setiap pergerakannya.

Menurut laporan Bernama, Isa kemudian diiringi beberapa penyokongnya menaiki lif khas VIP. Wartawan yang cuba mengekori Isa bagaimanapun dihalang pengawal daripada menaiki lif.

Jadi tumpuan

Lebih daripada 10 orang pengawal beruniform ditempatkan di pintu masuk bangunan itu bagi memastikan kawalan keselamatan lancar dan tiada individu dibenarkan naik kecuali mereka yang mendapat kebenaran khas dan mempunyai Pas khas.

Wartawan kelihatan sukar untuk membuat liputan apabila diarahkan berkumpul di kawasan pintu utama.

Walaupun laporan awal menyatakan bahawa pagi ini beberapa pemimpin Umno akan turut dipanggil menghadap lembaga itu tetapi sehingga pukul 10 pagi ini, hanya Isa yang hadir.

Lembaga Disiplin Umno hari ini dilaporkan akan memanggil beberapa pemimpin Umno yang didakwa telah melanggar kod etika parti semasa perebutan jawatan pada pemilihan tahun lepas, termasuk mengamalkan politik wang.

Penal yang menyiasat kes Isa itu dianggotai oleh Tan Sri Megat Najmuddeen Megat Khas dan Tan Seri Khalid Abdul Rahman. Mereka bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditemui pemberita kemudiannya.

Laporan sebelum ini menyatakan sebanyak tujuh tribunal akan dibentuk bagi mendengar kes-kes seumpama itu.

Arahan supaya para pemimpin terbabit menghadap lembaga itu hanya dibuat selepas terdapat prima facie terhadap mereka, sebelum keputusan dibuat.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin Umno yang telah menyelesaikan kes pelanggaran kod etika parti pada pemilihan di peringkat bahagian, telah menerima aduan daripada anggota parti mengenai salah laku pemimpin-pemimpin kanan parti dan siasatan telah dimulakan sejurus tarikh tutup aduan berakhir pada 18 April lepas.

Jawatan tinggi parti

Dilaporkan dalam siasatan kes terhadap pemimpin kanan parti ini, lembaga itu lebih teliti dan terperinci termasuk menerima akuan sumpah daripada mereka yang mempunyai hubungan dengan kes ini.

Pada Perhimpunan Agung Umno lepas, 212 calon bertanding merebut pelbagai jawatan parti, termasuk 51 orang bertanding merebut 25 kerusi Majlis Tertinggi (MT) dan tujuh calon bertanding merebut tiga jawatan Naib Presiden parti.

Selain Isa, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin memenangi jawatan naib presiden.

Isa dan Ali adalah muka baru bagi jawatan naib presiden manakala Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang kini Ketua Penerangan Umno gagal mempertahankan jawatan itu.

Lembaga itu sebelum ini telahpun membuat "kejutan" apabila mengambil tindakan terhadap beberapa pemimpin di peringkat bahagian yang didapati melanggar etika pemilihan parti.

Malahan semalam, dua ketua Umno bahagian dipanggil memberi keterangan pada lembaga itu di sini kerana dakwaan menjadi ejen pelobi dan menyebabkan kekalahan calon pada pemilihan wakil ke Perhimpunan Agung Umno bulan depan.