Bayi hilang dijumpai semula pagi ini, dua orang ditahan
Polis telah menemui bayi yang hilang dari wad A4 Hospital Sungai Petani pada Ahad lepas dalam keadaan selamat awal pagi ini dan menahan dua wanita bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Polis telah menemui bayi yang hilang dari wad A4 Hospital Sungai Petani pada Ahad lepas dalam keadaan selamat awal pagi ini dan menahan dua wanita bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ketua Daerah Polis Kuala Muda ACP Law Hong Soon yang mengesahkan kejayaan polis menemui semula bayi itu berkata, ia ditemui di sebuah rumah di sebuah kampung di Sungai Petani.
"Bayi itu selamat dan sekarang ditempatkan kembali di wad A4 Hospital Sungai Petani," katanya semasa dihubungi.
Beliau akan mengadakan sidang akhbar pada pukul 10 pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk memberi maklumat penuh mengenai penemuan bayi itu.
Bernama difahamkan bahawa bayi itu ditemui pada kira-kira pukul 3.58 pagi ini.
Penemuan itu sudah pasti berita paling mengembirakan bagi pasangan Mohamad Nordin Idris dan Noryati Abu Bakar, yang sudah berendam air mata mengenangkan bayi mereka dan ia juga melegakan seluruh rakyat negara ini yang tidak putus-putus mendoakan semoga bayi itu dipulangkan kepada ibu bapanya.
Bayi itu yang dilahirkan pagi Ahad lepas di Hospital Sungai Petani hilang pada kira-kira pukul 2.30 petang hari yang sama.

