Mahathir tiada kuasa selamatkan Guan Eng, bidas DAP
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai sebarang kuasa bagi membebaskan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dari mana-mana kes membabitkan dirinya, kata Ketua Biro Perundangan DAP, Gobind Singh Deo.
Sebaliknya, kata beliau, sebarang prosedur jenayah di negara ini adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara, selaras dengan peruntukan Perkara 145 (3) dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Dr Mahathir bukan Peguam Negara. Beliau tidak ada kuasa undang-undang untuk membebaskan Guan Eng.
“Jadi tuduhan Ismail baru-baru ini langsung tak berasas, malah menyalahi fakta,” kata Gobind yang juga adalah ahli parlimen Puchong dalam satu kenyataan.
Awal minggu ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang “bergantung sepenuhnya” kepada Dr Mahathir.
Ini kerana beliau percaya bekas perdana menteri itu satu-satunya individu yang boleh menyelamatkan Guan Eng daripada hukuman penjara.
Mengulas lanjut, Gobind berkata, kenyataan menteri Umno itu tidak masuk akal.
“Tidak ada apa yang Dr Mahathir boleh buat dan beri kesan terhadap prosiding terhadap Lim Guan Eng yang masih berjalan.”
“Dan Ismail sepatutnya tahu kerana dia sendiri peguam. Apa yang Ismail cakap memang mengarut,” katanya.
Guan Eng, yang juga setiausaha agung DAP didakwa atas tuduhan rasuah. Beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk kepentingan dirinya dan isteri, Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar tanah pertanian kepada tujuan kediaman pada mesyuarat Exco bertarikh 18 Julai 2014.
Seksyen 23 membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Guan Eng juga didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

