Naib Presiden Umno Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti itu berhubung dakwaan beliau terbabit dalam politik wang, enggan memberi sebarang ulasan mengenai keterangan yang diberikannya kepada Lembaga Disiplin Umno pagi ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu yang tiba pada jam 9 pagi di ibu pejabat parti di Menara Dato Onn di PWTC untuk sesi memberi keterangan itu, keluar meninggalkan bangunan itu hampir dua jam kemudian.

Menurut Bernama, apabila dikerumuni wartawan yang meminta beliau mengulas mengenai pertemuan itu, Isa sekadar berkata : "Subjudis".

"Saya tak boleh cakap apa-apa. Saya tak boleh komen pasal ini," katanya sambil berjalan keluar menuju ke kereta Proton Perdana Eksekutifnya.

Ditanya mengenai "kehilangannya daripada majlis-majlis umum" beberapa hari lalu, beliau berkata: "Saya rakyat Malaysia, tidak hilang mana-mana".

Isa menang jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti September tahun lalu dengan meraih undi terbanyak.

Beliau pernah gagal dalam dua percubaannya merebut jawatan itu sebelum ini.

Isa pernah menyandang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun bermula 1982 sebelum bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Jempol pada pilihan raya umum 2004.