Keputusan sentuhan fizikal banduan 7 Mac ini
Isu sama ada sentuhan fizikal antara banduan dan anggota keluarganya dibenarkan akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Mac depan.
Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan daripada pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan peguam kerajaan yang mewakili penjara hari ini.
Peguam Anwar, N Surendran, memberitahu mahkamah bahawa ahli politik hanya dibenarkan bertemu anggota keluarganya tiga kali seminggu, manakala sentuhan fizikal pula tertakluk kepada budi bicara Jabatan Penjara.
“Anggota-anggota keluarga hanya dibenarkan bertemunya melalui dinding kaca dan perbualan pula melalui telefon di situ,” kata Surendan.
“Bagaimana jika seseorang yang menghabiskan hukuman penjara seumur hidup dan pada masa itu dia tidak dibenarkan membuat sebarang sentuhan fizikal dengan anggota keluarga.”
Anwar, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anak dan cucu mereka menamakan pengarah penjara Sungai Buloh, ketua pesuruhjaya penjara dan Kementerian Dalam Negeri sebagai responden.
Surendran berkata Akta Penjara tidak menyebut berkaitan sentuhan fizikal.
Katanya, menghalang sentuhan fizikal banduan adalah bercanggah dengan perlembagaan dalam Perkara 5 (kebebasan individu) dan Perkara 8 (kesetaraan undang-undang untuk setia individu).
Peguam itu turut memetik kes-kes di United Kingdom dan India yang tafsirannya didakwa lebih liberal dalam mengakui hak-hak itu.
[Baca berita asal]

