Penangguhan pilihanraya kecil Likas didengar Isnin
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan Isnin ini bagi mendengar permohonan perintah larangan mengadakan pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas yang dijadualkan bermula pada 12 Julai.
Semalam, Parti Bersatu Sabah dan seorang pengundi kawasan itu menfailkan permohonan tersebut dengan alasan daftar pemilih yang bakal digunakan dalam pilihanraya itu batal dan tidak sah.
Ahli parti itu Bidin Mamat dan Bernadette Wong @ Wong Mui Lee serta Chiang Jak Hon juga memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyemak kembali daftar itu dan membuat pindaan.
Pengundian pilihan raya itu dijadualkan 21 Julai dan ia diadakan selepas mahkamah memutuskan bulan lalu bahawa pilihan raya negeri pada 1999 untuk kerusi tersebut terbatal dan tidak sah akibat daftar pemilih yang digunakan mengandungi senarai pengundi yang tidak sah.
Bagaimanapun Setiausaha SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pilihan raya itu tetapkan diteruskan "memandangkan undang-undang mewajibkan SPR melaksanakan pilihan raya tersebut."
Suruhanjaya itu tidak boleh sewenang-wenangnya menangguhkan pilihan raya kecil itu atas keinginan pihak-pihak tertentu, kata Wan Ahmad kepada agensi berita nasional Bernama hari ini.
"Kita mempunyai tanggungjawab terhadap perlembagaan negara dan juga kepada rakyat untuk melaksanakan pilihan raya kecil Likas," katanya lagi.
Ahli jawatankuasa pusat PBS Dr Chong En Leong semalam memberitahu malaysiakini , partinya menangguhkan pilihanraya kecil itu sehingga mereka mendapat jaminan daftar pemilih yang digunakan itu bersih daripada "pengundi hantu" atau nama yang didaftarkan tetapi tidak mengikut undang-undang pilihanraya.
Minggu lalu, PBS membentangkan lebih 5,000 nama pengundi hantu dalam daftar pemilih bagi kawasan Likas.
Kemenangan calon BN sebelum ini, Datuk Yong Teck Lee, dibatalkan pada 8 Jun lalu oleh hakim mahkamah pilihan raya Muhammad Kamil Awang selepas mendengar petisyen yang difailkan oleh dua calon yang tewas, Datuk Harris Mohad Salleh dari Parti Bersekutu dan Dr Chong (PBS).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.