PPTWT nafi kenakan yuran pendaftaran kepada kontraktor
Pertubuhan Pemilik Tanah dan Waris Tanah Kampung Bharu (PPTWT) menafikan pernah mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM2,000 bagi kontraktor yang berminat menyertai Projek Perintis Parcel 2 untuk membangunkan kawasan Kampung Masjid di Kampung Bharu.
Menurut Setiausahanya Zaunudin Ismail PPTWT tidak pernah meminta atau menerima apa-apa bayaran wang mahupun yuran pendaftaran berhubung projek berkenaan.
Malahan katanya, PPTWT tidak pernah menganjurkan apa-apa perjumpaan dengan kontraktor bumiputera G7 baru-baru ini.
"Saya meminta kepada pihak-pihak yang melakukannya agar menghentikan perbuatan itu segera.
"Sekiranya ada pihak yang tidak mengendahkan arahan ini, pihak kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan keras," katanya dalam satu kenyataan, kepada Bernama semalam.
Zaunudin juga menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengadakan apa-apa jerayawara untuk memberi penerangan mengenai Projek Perintis Parcel 2 itu.
Beliau berkata segala maklumat berkaitan projek itu diklasifikasikan sebagai sulit dan terhad kepada pihak luar.
- Bernama

