DAP tubuh JK khas bantu pemimpin Melaka
Kepimpinan DAP pusat telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk membantu DAP Melaka ekoran tindakan empat wakil rakyatnya di negeri itu keluar parti Ahad lepas.
ADUN DAP Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Lim Guan Eng dalam satu perjumpaan yang dihadiri kira-kira 200 pemimpin dan ahli parti itu malam tadi.
Menurut Khoo, jawatankuasa itu akan dianggotai Naib Pengerusi DAP Teresa Kok, Setiausaha Organisasi Kebangsaan Anthony Loke dan pengarah pendidikan politik parti itu, Liew Chin Tong.
"Kami akan mengambil alih perkhidmatan mereka di empat kerusi DAP itu," katanya.
Empat wakil rakyat tersebut - MP Kota MP Sim Tong Him (foto), ADUN Duyong Goh Leong San, ADUN Bachang Lim Jak Wong dan ADUN Kesidang Chin Choong Seong - memberi alasan mereka bertindak demikian kerana kecewa dengan pemimpin parti itu, yang mereka dakwa telah menyimpang daripada matlamat asal DAP.
Berikutan itu, DAP kini tinggal tiga kerusi DUN - Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Ayer Keroh, dan tidak ada lagi ahli Parlimen di Melaka.
Khoo juga berkata antara lain pemimpin pusat DAP yang hadir dalam pertemuan di ibu pejabat parti itu di Melaka ialah Pengerusi pemangku Tan Kok Wai, Ketua Selangor Tony Pua, Ketua Pemuda Teo Kok Seong dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan Teo Nie Ching.
"Selepas mendengar penjelasan, kami merasakan bahawa ahli-ahli kini boleh menerima keadaan ini," katanya.
Ahad lalu, Tan mendakwa keempat-empat mereka itu telah berubah dan menyifatkan mereka sebagai "barah" dalam parti.
Menjawab dakwaan Tan itu semalam, Sim berkata barah itu berjangkit dari dalam dan menggesa DAP supaya mengesannya sebelum ini merebak.

