Polis tahan suspek wanita kes bunuh Jong-nam
Polis mengesahkan seorang wanita warga asing telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pagi tadi bagi membantu siasatan pembunuhan abang tiri Presiden Korea Utara, Kim Jong-nam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata suspek didapati menggunakan dokumen perjalanan Republik Sosialis Vietnam dengan nama Doan Thi Huong. Catatan di pasportnya menunjukkan bahawa beliau berusia 29 tahun.
"Siasatan diteruskan dan tindakan lanjut ke atas suspek akan dibuat mengikut undang-undang yang diperuntukkan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Bukit Aman.
Menurutnya, suspek yang ditahan kira-kira jam 8.20 pagi itu dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang berkenaan yang dirakam pada hari kejadian.
Sementara itu, beberapa media dan agensi berita memberi pelbagai versi berhubung suspek yang disyaki pembunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un itu.
Portal Berita Harian Online yang memetik Ketua Biro ABC News, Joohee Cho, di Kuala Lumpur sebagai melaporkan dua wanita yang disyaki pembunuh itu didakwa ditemui mati,
Turut melaporkan demikian adalah wakil Channel News Asia, Michiyo Ishida yang memetik laman berita Kyodo News dari Jepun berkata mayat kedua-dua wanita itu telah ditemui.
Bunuh diri
Rakaman kamera litar tertutup CCTV turut menunjukkan rakaman seorang suspek di lokasi kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) yang tersebar meluas.
Wanita itu berambut panjang sehingga ke bahu dan memakai skirt dengan baju berwarna cerah dengan perkataan 'LOL' di bahagian depan dan sedang membawa satu beg tangan.
Portal itu melaporkan, sebelum ini, amalan ejen khas Korea Utara membunuh diri selepas menamatkan misi mereka sudah pernah dilihat beberapa kali.
Contohnya adalah Kim Hyun-hee, pengebom pesawat Korea Selatan pada 1987 yang mengikut arahan rejim Korea Utara.
Selepas melakukan tugasan yang menyebabkan 115 penumpang maut, Hyun-hee cuba membunuh diri tetapi gagal.
Ia juga memetik jurucakap polis Malaysia, Fadzil Ahmat beranggapan Jong-nam mungkin diracun menggunakan sehelai kain.
"Mangsa merasakan seseorang memegang muka beliau dari belakang. Beliau kemudian merasa pening," kata pegawai polis itu.
"Selepas diserang, beliau meminta bantuan di kaunter KLIA. Kami tidak pasti ia kain atau jarum."
Rayu supaya tak dibunuh
Sementara itu, AFP melaporkan Jong-nam pernah merayu kepada adiknya, Jong-un agar tidak membunuhnya dan mengganggu keluarganya selepas cubaan membunuhnya pada 2012 gagal.
Jong-nam, 46, dikatakan pernah menghantar surat kepada adik tirinya itu dan merayu tidak diganggu.
“Tolong jangan ganggu saya dan keluarga. Kami tidak mempunyai tempat untuk dituju..kami tahu satu-satunya jalan untuk melepaskan diri ialah dengan membunuh diri,” petik kandungan surat itu.
Isi kandungan surat itu dimaklumkan oleh ahli jawatankuasa perisikan Parlimen Korea Selatan, Kim Byung-Kee kepada para wartawan selepas taklimat tertutup ahli Parlimen Seoul dengan Ketua Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan, Lee Byung-Ho.
Menurut Byung-Ho, Jong-nam menghantar surat itu pada April 2012 selepas cubaan membunuhnya pada tahun yang sama.
Katanya, mangsa bukanlah ancaman terhadap Jong-un memandangkan dia tidak mempunyai sokongan kuat di negara asalnya.

