Jururawat dan suami ditahan berhubung kes kehilangan bayi
Polis hari ini menahan seorang jururawat Hospital Sungai Petani (HSP) dan suaminya yang dipercayai terbabit dengan kes kehilangan seorang bayi yang baru dilahirkan di hospital berkenaan.
Polis hari ini menahan seorang jururawat Hospital Sungai Petani (HSP) dan suaminya yang dipercayai terbabit dengan kes kehilangan seorang bayi yang baru dilahirkan di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Law Hong Soon berkata jururawat yang berusia 25 tahun itu bertugas di wad A4, wad di mana bayi berkenaan ditempatkan sebelum dilaporkan hilang kira-kira jam 2.30 petang Ahad lalu.
Menurutnya suami jururawat itu yang berusia 30 tahun, adalah seorang pekerja kilang.
Beliau berkata polis telah menyerbu rumah ibu bapa jururawat berkenaan di Kampung Telok Kecil, Sungai Layar di sini pada jam 3.45 pagi ini, dan semasa diserbu, polis menemui jururawat berkenaan bersama suami serta ibu bapanya, dan seorang bayi.
"Bayi itu berada dalam keadaan selamat dan sudah diserah kepada HSP untuk pemeriksaan lanjut dan menjalani ujian, sementara ibubapa jururawat berkenaan tidak ditahan," katanya dalan sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Law berkata kejayaan polis menyelesaikan kes berkenaan dalam masa empat hari itu adalah hasil kerja keras pasukan polis, maklumat awam dan media.
Bertugas shif pagi
Beliau berkata pada hari kejadian, jururawat berkenaan yang bertugas syif pagi iaitu dari jam 7 hingga 2 petang, dipercayai telah membawa bayi itu keluar dari wad dan membawanya pulang ke rumah selepas dia habis bertugas petang itu.
Menurut laporan Bernama, Law berkata polis masih belum dapat mengenalpasti motif wanita berkenaan, dan menurutnya pasangan itu tidak mempunyai anak.
Beliau berkata ibubapa bayi berkenaan sudah dimaklumkan tentang penemuan bayi itu pada jam 8 pagi ini dan mereka telah diminta hadir ke HSP bagi tujuan mengecam bayi berkenaan.
Mohamad Nordin Irdis dan isteri Noryati Abu Bakar, tiba di HSP jam 10 pagi ini dan dibenarkan melihat bagi itu di wad kecemasan kira-kira 40 minit kemudian.
Sementara itu, pada kira-kira jam 8.45 pagi ini, jururawat berkenaan dan suaminya yang ditahan itu telah dibawa masuk ke wad A4 oleh sepasukan anggota polis dengan tangan kedua pasangan itu bergari.
Mereka berada di wad berkenaan selama 15 minit, namun tidak dapat dipastikan kenapa pasangan itu dibawa ke wad berkenaan.
Kedatangan polis dan jururawat serta suaminya itu telah menarik perhatian ramai rakan setugas beliau di wad berkenaan.
Tahanan reman
Sementara itu, polis mendapat perintah tahanan reman tujuh hari terhadap jururawat dan suaminya itu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Perintah berkenaan dikeluarkan pendaftar Mahkamah Majistret Sungai Petani V. Kanasan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.