Sebuah jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia terhempas di Pangkalan TUDM Labuan hari ini mengorbankan juruterbangnya Kapten Mohd Yusari Kliwon.

Allhayarham Mohd Yusari, 26, berasal dari Sungai Mas, Kota Tinggi, Johor, demikian menurut Pegawai Perhubungan Awam TUDM Mejar Roslan Salam dalam satu kenyataan.

TUDM akan menubuhkan lembaga penyiasat bagi mengenal pasti punca kemalangan, katanya.

Kejadian berlaku pada pukul 8.50 pagi ketika Mohd Yusari sedang melakukan pendaratan di landasan pangkalan udara itu.

Mohd Yusari dari Skuadron 15, Pangkalan Udara TUDM Butterworth, baru selesai menjalani latihan penyesuaian pesawat itu.

Pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara Labuan pada 7.41 pagi tadi.

Pesawat keenam terhempas

Menurut laporan Bernama, nahas hari ini merupakan yang keenam membabitkan pesawat jenis Hawk milik TUDM sejak 1996. Kejadian lain ialah pada:

18 Jun 1996 : Sebuah pesawat Hawk 100 terhempas dalam sawah padi, dua batu nautika dari Pangkalan TUDM, Butterworth, Pulau Pinang, ketika mengadakan latihan pertunjukan udara. Juruterbang selamat.

23 Julai 1996 : Sebuah pesawat Hawk 100 terhempas ketika mengadakan latihan berhampiran Lapangan Terbang Labuan. Juruterbang juga selamat.

10 Sept 1998 : Sebuah pesawat Hawk 208 terhempas ketika mengadakan latihan di Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan. Juruterbang Kapt Jaidev Biaspal, 29, terkorban.

4 Sept 2002 : Sebuah pesawat Hawk 208 terhempas di Laut China Selatan, 40 batu nautika dari Pulau Tioman, Pahang. Juruterbang selamat.

18 Dis 2003 : Sebuah pesawat Hawk 100 terhempas di perairan sekat Pantai Sepat, Kuantan, Pahang. Dua juruterbang Kapten Khairul Hazrin Kamaruddin, 28, dan Kapten Ashraff Che Hussin, 30, terbunuh.