Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PDRM sita harta rampasan dadah bernilai RM22.19 juta
Diterbitkan:  Feb 15, 2017 9:14 PM
Dikemaskini: 1:18 PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyita harta rampasan dadah yang dianggar bernilai RM22.19 juta hasil operasi seluruh negara
antara 1 Januari hingga 9 Februari lepas.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Kang Chez Chiang berkata daripada operasi itu, pihaknya berjaya menangkap 23,077 orang pesalah melibatkan pembekal (3,016), memiliki dadah (6,517) dan penagih (13,544).

Beliau berkata sepanjang tempoh operasi itu polis turut berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM16.36 juta.

Terbaru, katanya polis menahan enam suspek warga tempatan berumur lingkungan 34 hingga 39 tahun disyaki terbabit dalam sindiket dadah di Kuala Lumpur dan Selangor pada Isnin lepas.

"Polis merampas dadah dianggarkan bernilai RM1.1 juta dalam empat serbuan di Rawang dan Kajang di Selangor dan Sri Hartamas dan Mont Kiara di sini," katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata dadah yang dirampas adalah jenis syabu seberat 15.5 kilogram dan serbuk ephedrine seberat 11.2 kilogram.

Kang berkata polis turut merampas sepucuk pistol jenis Beretta 950, 101 butir peluru, tujuh buah kenderaan antaranya jenis Mercedes Benz dan wang tunai serta sejumlah barang kemas dengan nilai sitaan keseluruhan harta lebih RM500,000.

Kesemua suspek direman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.
 

 

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS