Kerajaan Australia telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya mengelak melancong ke kawasan pantai timur Sabah selepas menerima laporan yang 'boleh dipercayai' mengenai rancangan pengganas untuk menculik rakyat asing.

"Rakyat Australia dinasihatkan supaya mengelak melancong ke pantai pelancongan dan kawasan menyelam berhampiran pantai timur Sabah," demikian menurut Jabatan Halehwal Luarnya dalam kenyataan amarannya yang dikeluarkan lewat semalam.

"Kita telah menerima laporan-laporan yang boleh dipercayai bahawa para pengganas sedang merancang untuk melakukan penculikan di kawasan pelancongan yang sering dikunjungi rakyat asing," tambahnya.

Sebelum ini, katanya, para militan telah menculik pelancong rakyat asing yang berkunjung ke bahagian timur Sabah dan di kepulauan berhampiran pantai timur Sabah.

'Masih merbahaya'

Kenyataan amaran itu juga menasihatkan rakyat Australia supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di Malaysia kerana 'risiko serangan pengganas terhadap kepentingan Barat masih wujud di Malaysia".

Katanya, mereka patut berhati-hati terutama ketika berada di dalam gedung perniagaan dan kawasan awam yang sering dikunjungi orang luar seperti hotel, kelab, restoran, bar, pasar dan tempat ibadat.

- AFP