Status gaji Sothinathan pula akan dikaji
Status gaji Datuk S. Sothinathan yang digantung dari jawatannya sebagai Timbalan Menteri Sumber Alam Sekitar selama tiga bulan, akan diperhalusi dan diteliti berdasarkan lunas undang-undang.
Status gaji Datuk S. Sothinathan yang digantung dari jawatannya sebagai Timbalan Menteri Sumber Alam Sekitar selama tiga bulan, akan diperhalusi dan diteliti berdasarkan lunas undang-undang.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman berkata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sedang mengkaji perkara itu dan beliau akan berjumpa dengan Abdul Ghani secepat mungkin bagi mendapatkan pandangannya.
Katanya kajian itu perlu dibuat memandangkan ia adalah kes pertama yang membabitkan Timbalan Menteri di negara ini, dan tindakan yang bakal diambil perlulah tepat kerana undang-undang yang sedia ada tidak memperincikan perkara itu.
"Kita nak pastikan tindakan itu adalah tepat sebelum tindakan diambil dan perlulah kita lihat penerangan yang ada dan contoh-contoh (kes pengantungan) yang boleh diambil dari negara lain.
"Peguam Negara sedang menyemak (perkara itu). Saya akan jumpa dia nanti," katanya dalam sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2005 di Putrajaya hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, jika pengantungan itu melibatkan pegawai kerajaan, hal-hal berkaitan gaji adalah terpulang kepada ketua jabatan dan selalunya individu itu akan mendapat setengah bulan gaji.
"Jika seseorang pegawai kerajaan itu dicurigai dan digantung kerja, ia (gaji) terpulang kepada ketua jabatan untuk tetapkan. Tapi dalam hal ini (Sothinathan) tidak diperincikan sedemikian sebelum ini," katanya.
Tambahnya, dalam tempoh pengantungan itu, Sothinathan masih boleh mengunjungi pejabatnya kerana beliau masih Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Teluk Kemang dan perlu menunaikan tanggungjawabnya.
Sothinathan, yang juga Setiausaha Agung MIC, digantung dari jawatannya selama tiga bulan berkuatkuasa semalam ekoran kelantangannya mengkritik kerajaan di Dewan Rakyat Selasa lalu, berhubung isu penarikan pengiktirafan ijazah perubatan Crimea State Medical University di
Ukraine. Universiti itu mempunyai ramai pelajar keturunan India dari negara ini.
MIC tidak akan merayu
Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata, parti itu tidak akan merayu kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menarik balik penggantungan Sothinathan kerana ia adalah hak Perdana Menteri.
"Menjadi hak Perdana Menteri untuk melantik, menggantung atau memecat (menteri atau timbalan menteri). Kami tidak ada hak untuk mempertikaikannya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Menurut Perdana Menteri, Sothinathan akan menjawat semula jawatannya sebagai Timbalan Menteri selepas tempoh penggantungan tamat.
Manakala Dewan Rakyat hari ini menolak usul Ketua Pembangkang Lim Kit Siang supaya dewan mengambil ketetapan untuk merujuk Sothinathan dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan "bagi menentukan siapakah yang telah memesong Parlimen dalam penghujahan sesuatu yang tidak benar".
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib ketika membuat keputusan menolak usul itu berkata mengikut peraturan mesyuarat usul berkenaan dibawa semasa kejadian itu berlaku.
"Maka perkara itu telahpun berlaku semalam dan oleh itu usul ini tidak boleh dibawa pada hari ini," katanya.
Pak Lah Lembut tapi tegas
Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali menganggap tindakan Perdana Menteri menggantung perkhidmatan Sothinathan sebagai tegas dan merupakan amaran kepada semua, supaya patuh pada dasar kerajaan atau parti.
"Walaupun nampak PM (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) kita lembut, tetapi tindakan yang diambil ini merupakan satu tindakan paling tegas dan ini merupakan amaran bukan saja kepada parti komponen tetapi juga kepada pemimpin Umno sendiri bahawa kita boleh berlainan pendapat tetapi dari segi dasar parti, kita mesti ikut," katanya kepada pemberita di Perak.
Tajol Rosli yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak berkata jika ada pemimpin yang tidak boleh menerima dasar parti, mereka cuma ada dua pilihan berhenti dan selepas itu mereka boleh untuk tidak bersetuju.
Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim pula berkata lantaran Abdullah dianggap seorang yang lemah lembut dan senyum, maka banyak
pihak berpendapat 'boleh melanda pergi dan memijak pulang'.
Bagaimanapun, katanya, tindakan perdana menteri semalam menunjukkan sikap pemimpin yang tegas.
Tindakan itu, katanya, satu isyarat atau lampu merah kepada mereka yang ingin secara berleluasa mengeluarkan kata-kata yang mungkin menghilang atau menghakis kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan, katanya.
"Kami dalam Kabinet sangat berbangga atas sikap Perdana Menteri dan kita pun sendiri lihat Datuk Seri S. Samy Vellu selaku Presiden MIC, mengambil dan menerimanya dalam keadaan yang amat baik," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.