Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Wakil DAP kesal Jamal 'salah guna' aset masjid
Diterbitkan:  Feb 16, 2017 11:57 AM
Dikemaskini: 4:02 AM

Pihak berkuasa agama digesa menyiasat sama ada aset-aset masjid disalah guna dalam demonstrasi pemimpin Baju Merah Datuk Jamal Yunos di depan pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) di Shah Alam, kelmarin.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku Lau Weng San membuat gesaan itu terhadap Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Perkara ini serius kerana rakyat Selangor seringkali diingatkan bahawa institusi agama Islam tidak boleh dijadikan medan berpolitik oleh orang-orang politik dan mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam perhimpunan itu, Jamal membawa berbelas-belas van jenazah dan mengusung keranda ke depan pintu pagar bangunan SUK kerana mengesyaki terhadap penyelewengan dalam beberapa program kebajikan negeri, termasuk skim khairat kematian.

Dalam kenyataan hari ini, Lau menegaskan bahawa kebanyakan van jenazah adalah aset masjid untuk memudahkan urusan kematian atau pengebumian ahli-ahli kariah dan penduduk-penduduk Muslim setempat.

Katanya, walaupun terdapat kenderaan itu yang diuruskan oleh syarikat swasta dan individu, kebanyakan van ini adalah sumbangan kerajaan persekutuan atau negeri atau dibeli melalui kutipan derma setempat.

“Sudah pastinya, van-van jenazah milik masjid harus dianggap sebagai aset masjid dan sebahagian daripada institusi dan jentera pentadbiran masjid itu sendiri dan tidak boleh sewenang-wenangnya disalahgunakan oleh orang-orang politik seperti Jamal Yunos untuk agenda politiknya sendiri,” katanya.

Lau juga menyenaraikan enam nombor pendaftaran van-van itu yang diperolehnya daripada rakaman video semasa kejadian, dua daripadanya terdapat perkataan sebuah masjid di Klang dan satu lagi tertulis JKKKP sebuah kampung di Sungai Besar.

“Sekiranya tuduhan ini adalah benar, maka saya menyeru pihak MAIS dan JAIS agar mengambil segala tindakan yang mungkin dan tegas terhadap mereka yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Lihat Komen
ADS