Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TN50 sekadar gimik politik PRU14 - Pemuda AMANAH
Diterbitkan:  Feb 16, 2017 12:34 PM
Dikemaskini: 5:50 AM

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil menyifatkan dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50) tidak lebih daripada gimik politik menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"TN50 tidak akan tercapai jika sistem dan pentadbiran negara hari ini tidak mengalami proses transformasi dan pemulihan secara total dan jujur.

"Pembaharuan institusi yang melibatkan insititusi undang-undang, Parlimen dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah langkah awal ke arah transformasi negara.

"TN50 juga akan menemui kegagalan jika intipati utama sesuatu kejayaan iaitu integriti tidak dijadikan asas reformasi dan transformasi, sepertimana ungkapan R Buckminster Fuller," katanya dalam kenyataan.

TN50 yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak semasa pembentangan Bajet 2017 merupakan gagasan kesinambungan kepada dasar terdahulu bagi membentuk negara bangsa Malaysia yang berwibawa serta berminda cemerlang.

TN50 akan menggerakkan generasi muda pelbagai bangsa melalui wacana nasional.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, pentadbiran negara hari ini bukan sahaja dijerut dengan pelbagai skandal korupsi dan penyelewengan, tetapi kedaulatan negara juga berada dalam keadaan tidak menentu.

"Negara kini terpaksa pula berhutang dengan negara China yang sudah terbukti cuba melebarkan kekuasaannya melalui konsep 'one belt one road'.

"Seperti mana ungkapan Presiden kedua Amerika Syarikat John Adams bahawa penjajahan boleh berlaku melalui dua cara, iaitu pedang dan hutang.

"Negara hari ini memerlukan 'antidote' dan bukannya 'pain killer'." katanya.

Justeru, jelasnya, gagasan Selamatkan Malaysia (SM17) melalui pembentukan kerajaan baru adalah gagasan yang paling relevan dan paling utama untuk diperjuangkan oleh rakyat terutama generasi muda dengan menjadikan prinsip integriti sebagai teras transformasi.

PRU14 adalah medan paling berkesan untuk selamatkan Malaysia agar transformasi yang menitik beratkan tiga teras utama dapat dilaksanakan.

Tiga teras itu ialah mementingkan kebajikan rakyat, memperkasakan keadilan dan kebebasan serta memupuk nilai murni dan kebaikan, tambahnya.

Lihat Komen
ADS