Ekonomi M'sia tumbuh 4.2% pada 2016
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus pada suku keempat 2016, disokong oleh peningkatan berterusan perbelanjaan sektor swasta, yang menjurus kepada pertumbuhan 4.2 peratus bagi keseluruhan 2016.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2016 bagaimanapun lebih rendah daripada 5 peratus dan 6 peratus yang direkodkan masing-masing pada 2015 dan 2014.
Dari segi penawaran, pertumbuhan terus dipacu oleh sektor perkilangan dan perkidmatan, kata Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.
Berdasarkan asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi negara mencatat pertumbuhan mampan sebanyak 1.4 peratus (3Q 2016:1.4 peratus), katanya.
"Walaupun persekitaran luar akan kekal mencabar, ekonomi Malaysia akan melalui pertumbuhan mampan dengan permintaan domestik menjadi pemaju utama," kata bank pusat dalam satu kenyataan.
BNM berkata penggunaan swasta dijangkakan terus disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga, dengan dorongan tambahan menerusi pengumuman langkah-langkah kerajaan untuk menyokong pendapatan boleh guna isi rumah.
"Aktiviti pelaburan akan terus ditegarkan pada pelarasan projek-projek infrastruktur secara berterusan serta perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan," kata BNM.
Bank pusat itu berkata secara keseluruhannya, KDNK pada suku keempat berkembang pada kadar yang lebih sederhana, dengan peningkatan aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta diimbangi oleh kemerosotan dalam perbelanjaan awam.
Pada suku keempat 2016, penggunaan swasta meningkat 6.2 peratus berbanding 6.4 peratus pada suku ketiga, disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan.
Pelaburan swasta mencatat peningkatan 4.9 peratus (3Q 2016: 4.7 peratus), berikutan perbelanjaan modal yang berterusan dalam sktor perkhidmatan dan perkilangan.
Walaupun pertumbuhan pelaburan awam bertambah baik, terutama hasil daripada perbelanjaan yang lebih tinggi untuk aset tetap oleh syarikat awam, namun secara keseluruhannya ia terus menguncup pada suku keempat.
Penggunaan awam juga merosot sebanyak 4.2 peratus (3Q 2016: +2.2 peratus) berikutan rasionalisasi perbelanjaan untuk bekalan dan perkhidmatan, dan pertumbuhan sederhana dalam perbelanjaan emolumen.
Bagi sektor luaran, eksport bersih menyumbang secara positif kepada pertumbuhan apabila eksport benar berkembang dengan lebih cepat berbanding import benar.
Dari segi penawaran, pertumbuhan dalam sektor perkilangan, perlombongan dan pertanian bertambah baik.
Sektor perkilagan berkembang dengan lebih cepat disebabkan oleh pertumbuhan lebih tinggi dalam industri berorientasikan dalam negeri dan eksport.
Sektor perlombongan pula mencatat pertumbuhan yag lebih baik hasil daripada pengeluaran gas asli yang lebih tinggi pada suku itu.
Aktiviti ekonomi dalam sektor pertanian menguncup pada kadar yang lebih perlahan, yang mencerminkan impak El Niño yang semakin berkurangan terhadap kadar hasil minyak sawit mentah.
Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan terus berkembang walaupun lebih sederhana, disokong oleh perkhidmatan berkaitan penggunaan.
Dalam sektor pembinaan, pertumbuhan terus disokong oleh subsektor kejuruteraan awam.
- Bernama

