K’jaan arahkan siasat tweet 'makanan kotor’ punca kematian
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengarahkan kakitangan kementerian itu untuk menyiasat maklumat terperinci dalam satu tweet yang berbentuk satira.
Pemegang akaun Twitter dengan nama "Perkhidmatan Berita DPRK" mendakwa Kim Jong-nam, abang tiri kepada Presiden Korea Utara Kim Jong-un yang dijumpai mati di Malaysia kerana keracunan makanan.
"Masalah wabak penghadaman di Malaysia meragut nyawa Kim Jong-nam. Amalan makanan tidak bersih oleh rakyat Malaysia yang kotor dipersalahkan," petik tweet itu.
Menurut Sinar Harian, ajuddin memandang tweet itu dengan agak serius dan berkata bahawa ia tidak boleh dipandang enteng dan siasatan segera perlu dilakukan.
"Saya meminta pegawai kementerian untuk melakukan siasatan dengan kadar segera bagi memastikan dakwaan portal berkenaan benar atau tidak kerana tidak mahu nama baik negara terjejas.
"Walaupun ia berita daripada media sosial dan boleh jadi sebuah khabar angin, kita tetap tidak boleh berdiam diri dalam hal ini dan siasatan segera perlu dilakukan," katanya yang dipetik akhbar itu.
Tajuddin juga dilaporkan berkata kementeriannya sentiasa memberi penekanan terhadap pentingnya kebersihan makanan.
Beliau berkata, kementeriannya mempunyai dasar toleransi sifar terhadap keselamatan makanan.
Sebelum ini telah disahkan bahawa Jong-nam bukannya mati akibat "penghadman" dan sememangnya dibunuh, yang dipercayai mungkin dengan racun, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada Isnin lalu.

