Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang berjumlah RM200 juta.

Laporan Jamal itu merupakan susulan bantahan yang dibuat beliau di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Selangor sebelum ini yang menyaksikannya bersama rombongan mengusung keranda.

Kata Jamal, meskipun tempoh selama lima hari telah diberikan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi memberi penjelasan, namun pihaknya terpaksa bertindak lebih cepat.

"Pada sidang media dua hari lepas, kami memberikan tempoh lima hari namun kami bimbang dengan adanya pendedahan tersebut, banyak bahan bukti akan cuba dimusnahkan," kata Jamal kepada pemberita di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Selangor (SPRM) di Shah Alam, hari ini.

Kelmarin, Jamal tiba di pintu masuk utama SUK negeri Selangor kira-kira jam 11 pagi bersama 15 kereta jenazah sebelum mengusung keranda dan cuba memasuki perkarangan bangunan itu tetapi dihalang oleh pihak keselamatan.

Kehadiran Jamal yang juga ketua Umno bahagian Sungai Besar dan penyokongnya berhubung dakwaan penyelewengan dana peruntukan SMUE dan Wang Khairat Kematian Negeri Selangor.

"Anggap sajalah Azmin ada di dalamnya ya," kata Jamal yang berpakaian seperti penggali kubur kepada hadirin.

Mengulas lanjut, Jamal berkata, tujuan laporan tersebut juga adalah bagi mendesak SPRM menyiasat beberapa persoalan yang timbul berkaitan dana awam tersebut yang disalurkan kepada anggota Parlimen tertentu di daerah-daerah Hulu Langat, Gombak dan Petaling Jaya.

Kata Jamal, pihaknya juga meminta SPRM menyiasat aliran wang dari akaun Ambank yang dibuka khas untuk menyalurkan dana SMUE itu.

Antaranya, kata Jamal, melibatkan beberapa anggota Parlimen pembangkang di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kami dapat maklumat penyelewengan duit-duit yang tidak dapat dikesan dan akaun ini tidak dapat ditutup jumlahnya sangat besar dan biarlah pihak berkuasa menyiasat. Ia lebih RM10 juta," kata Jamal.

Sementara itu, mengulas kenyataan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang kesal dengan tindakannya 'mengeksploitasi' aset masjid untuk tujuan demonstrasi, ia hanyalah cubaan untuk menutup isu penyelewengan dana kerajaan negeri itu.

"Saya tidak fikir begitu (eksploitasi) kerana apa yang paling mustahak adalah dana yang begitu besar diseleweng oleh mereka-mereka yang diberikan amanah di dalam negeri Selangor.

"Apa yang saya lakukan itu hanya gimik dan sekejap saja, bukan seminggu kita berkampung di sana. Ini sebenarnya mereka cuba memutar belitkan isu ini sahaja, mereka cuba tutup isu sebenar," tegas Jamal.

Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim dilaporkan sebagai berkata, tindakan Jamal bersama penyokongnya telah mencemarkan kemuliaan institusi masjid.

Lihat Komen
ADS