Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Openg membenarkan lesen pembalakan sementara di negeri itu dibuat melalui proses tender terbuka.

Abang Johari, yang mengambil-alih jawatan itu selepas kematian Tan Sri Adenan Satem bulan lalu, berkata tindakan itu bagi memastikan pengeluaran lesen adalah telus.

"Lesen pembalakan jangka pendek hanya dikeluarkan bagi tanah hutan kerajaan negeri yang diluluskan untuk pembangunan; dan kawasan pembangunan tanah hak adat (NCL) dan tanah hak adat pribumi, yang akan melalui proses pembangunan.

"Lesen akan diberikan melalui tender terbuka," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, ia juga termasuk lesen sedia ada yang telah tamat tempoh.

Jabatan Perhutanan akan menyediakan dokumen tender dan anggaran nilai balak untuk menentukan harga rizab bagi tender berkenaan.

Beliau menegaskan dalam proses tender itu, Jabatan Hutan perlu menyediakan dokumen tender yang antara lain termasuk, status tanah itu, tempat, saiz tanah, anggaran pokok balak dan mudah diakses.

Tender akan diiklankan dalam akhbar-akhbar tempatan dan laman web Jabatan Perhutanan 30 hari sebelum penutupan tender, katanya.

Perintah ini berkuat kuasa serta-merta dan tidak tertakluk kepada mana-mana tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang menjadi tuntutan.

Beliau berkata lesen pembalakan jangka pendek yang dikeluarkan di atas tanah kerajaan yang akan tamat tempoh tahun ini tidak akan diperbaharui kecuali tanah itu telah diluluskan untuk pembangunan.

[Baca berita penuh]


Nota editor: Berita ini sebelum ini menyebut ketua menteri Sarawak menarik balik pembekuan lesen pembalakan jangka pendek. Lesen pembalakan jangka pendek yang disebut Datuk Amar Abang Johari Openg adalah berbeza dengan lesen pembalakan biasa yang sebelum ini dikenakan moratorium oleh pentadbiran Tan Sri Adenan Satem. Kesilapan itu amat dikesali.