Yapeim sedia bersihkan nama di mahkamah
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) memohon writ saman terhadapnya berkaitan dakwaan penyalahgunaan dana Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN) diserahkan segera.
Ketua Pengarah Yapeim Datuk Abdullah Samsudin berkata, setakat jam 7 petang semalam, saman tersebut tidak lagi diserahkan kepada mana-mana pihak.
“Memandangkan setakat ini pihak kami masih belum diserahkan dengan writ saman tersebut, kami tidak mengetahui apakah kausa tindakan terhadap kami dan memohon agar ia dapat diserahkan dengan serta-merta bagi membolehkan membersihkan nama kami di mahkamah dengan secepat mungkin,” kata Abdullah.
“Kami juga mempunyai keyakinan penuh dengan sistem kehakiman negara serta percaya keadilan sentiasa ditegakkan.”
Malaysiakini semalam melaporkan Yapeim, menteri agama Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan enam pihak lagi disaman RM20 juta oleh dua pengasas PEMANGKIN Mohd Yusoff A Bakar dan Ahmad Fazli Hashim.
Plaintif mendakwa Yapeim menggunakan dana PEMANGKIN untuk menaja program Jamil ke Eropah, Amerika Syarikat dan program-program Yapeim di Ausralia.
Defendan lain yang dinamakan adalah anggota lembaga pemegang amanah PEMANGKIN Shahlan Ismail, Mohd Yusof Abd Rahman, Mokhtar Abd Razak, ketua pengarah Yapeim yang juga ketua pegawai eksekutif Abibullah Samsudin, pengarah undang-undang Yapeim Sharina Ramli dan bekas setiausaha syarikat itu Normala Embi.
Plaintif mendakwa Yapein dan defendan-defendan bertindak bersama untuk menjadikan PEMANGKIN tidak aktif, digulung secara rahsia tanpa memaklumkan atau dibincangkan dengan pengasas-pengasasnya.
Mereka juga mendakwa terhadap usaha menutup kelemahan, salah laku dan salah tadbir oleh sesetengah defendan seperti laporan media berkaitan PEMANGKIN.
Sementara itu, Abdullah juga mengingatkan bahawa PEMANGKIN lebih dahulu menyaman Mohd Yusoff dan Ahmad Fazil pada 29 November tahun lalu dan perintah injunksi bagi membekukan kesemua akaun bank mereka telah diperoleh.
Ia, katanya, bagi melindungi dan memelihara harta, aset-aset serta kepentingan PEMANGKIN.
Abdullah juga berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Januari lalu telah memberikan kebenaran memulakan prosiding mengkomitkan ke penjara terhadap Mohd Yusoff dan Ahmad Fazil atas keingkaran terhadap perintah menyatakan aset mereka dan pemangkin.
Tahun lalu NGO yang diasaskan oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat (NOW), mendakwa Jamil menggunakan dana PEMANGKIN untuk bermain golf dan membeli-belah.
Jamil menyaman pengarahnya Akmal Nasir, tetapi ini kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

