Seorang bekas hakim Mahkamah Rayuan melahirkan kebimbangan bahawa usul pindaan Akta 355 yang dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekira diluluskan boleh disalahgunakan melalui percanggahan ketara dalam hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah syariah di seluruh negara.

Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dalam kuliah undang-undang perlembagaan di Universiti Malaya semalam, berhujah bahawa cadangan pindaan Abdul Hadi itu, manakala mengikut peruntukan perlembagaan berhubung bidang kuasa mahkamah syariah, boleh membawa kepada penyalahgunaan dan percanggahan dalam menjatuhkan hukuman.

"Ia boleh disalahgunakan... Jika kita terima had hukuman lebih berat sekarang, apa yang akan berlaku adalah bahawa setiap negeri akan menjatuhkan hukuman berbeza.

"Jika had maksimum adalah rendah, percanggahan tidak akan begitu ketara," katanya.

Cadangan pindaan Hadi bagi memperkasakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 antara lain bertujuan untuk meningkatkan had hukuman denda maksimum kepada RM100,000, hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 100 sebatan.

Ini berbanding hukuman maksimum denda RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun dan enam sebatan, sekarang.

Sebelum ini, usul asal presiden PAS itu yang dibentangkan pada Mei tahun lalu memberi kebebasan kepada negeri-negeri untuk menghukum pesalah syariah, kecuali menjatuhkan hukuman mati.

"Pada pandangan saya versi yang dipinda itu adalah mengikut perlembagaan kerana ia mematuhi semua keperluan," katanya, memetik antara lain pindaan yang dicadangkan tidak melampaui bidang kuasa mahkamah syariah.

"Bolehkah ini dilakukan (dibentangkan)? Ya. Ini boleh dilakukan, mengikut perlembagaan.

"Patutkah ini dilakukan dengan cara yang dilakukan sekarang? Tidak.

"Saya percaya had hukuman maksimun adalah terlalu tinggi," katanya.

Malah, katanya sudah ada hukuman sedia ada bagi kesalahan syariah di beberapa negeri yang dilihat sebagai tidak seimbang dengan akta berkenaan.

[Baca berita penuh]