Pembunuhan Jong-nam hanya beri sedikit kesan
Pembunuhan Kim Jong-nam, saudara tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Malaysia hanya memberi kesan sedikit kepada hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara terlibat, kata penganalisis hubungan luar.
Profesor Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya Prof Jatswan Singh berkata, Jong-nam bukan seorang diplomat Korea Utara atau pegawai dan oleh itu, pembunuhan di Malaysia mempunyai sedikit kesan kepada hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
"Beliau bukan seorang pegawai. Beliau hanya seorang rakyat Korea Utara yang dibunuh di sini.
"Ya, sudah tentu ada unsur intipan, tetapi saya lihat mereka sedang menyiasatnya sama seperti kes bunuh lain," kata Jatswan kepada Malaysiakini hari ini.
Hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Korea Utara juga adalah rendah antara kedua-dua negara itu, katanya.
"Kita bukan bercakap tentang Korea Selatan, ia Korea Utara," katanya.
Terdapat juga kebimbangan bahawa China mungkin mengambil keuntungan dalam kejadian ini kerana dilihat berhampiran dengan Korea Utara.
Malah isteri pertama Jong-nam dan anaknya tinggal di Beijing, manakala isteri keduanya dan anaknya tinggal di Macau.
Bagaimanapun, Jatswan berkata, China telah mula menjauhkan diri daripada Korea Utara, terutamanya berkaitan dengan ujian peluru berpandu.
"Oleh itu, China tidak begitu gembira dalam isu-isu tertentu, tetapi meletakkan ketepi semua itu, ya, dia saudara tiri pemimpin Korea Utara tetapi dia tidak mati dalam kapasiti pegawai rasmi," katanya.

