Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jenazah ibu MB Selangor selamat dikebumikan
Diterbitkan:  Feb 18, 2017 9:06 AM
Dikemaskini: 6:59 AM

Jenazah Che Tom Yahaya, 82, ibu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate Baru kira-kira 11 pagi ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Damansara pada pukul 2.14 pagi ini akibat serangan angin ahmar.

Azmin berkata ibunya sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi hospital tersebut pada 10 Okt tahun lepas apabila mengalami serangan angin ahmar buat kali pertama.

"Pada Sabtu lepas beliau diserang angin ahmar kali kedua, kali ini serangan itu agak serius dan kritikal.

"Beliau ada rekod sakit jantung dan menjalani rawatan berkala di IJN (Institut Jantung Negara) tetapi tidak serius sehingga diserang angin ahmar," katanya kepada pemberita selepas urusan pengebumian ibunya.

Katanya, majlis tahlil akan diadakan di kediamannya malam ini selepas solat Isyak.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menziarah dan menunaikan solat jenazah.

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini merakamkan ucapan takziah kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali atas pemergian ibunya, Che Tom Yahaya awal pagi tadi.

"Takziah kepada YAB @AzminAli & keluarga atas pemergian bonda tercinta, Hajah Che Tom Yahaya. Moga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat. al-Fatihah," katanya menerusi akaun Twitter rasmi beliau.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengucapkan takziah kepada Mohamed Azmin menerusi akaun Twitternya.

"Takziah untuk DS Azmin atas kembalinya ke rahmatullah bonda beliau. PM & saya telah bercakap melalui telefon dengan beliau jam 6 tadi. al-Fatihah.

- Bernama

ADS