Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki menipu beberapa ahli perniagaan sejak 2013 dengan janji pemberian tender Bukit Aman kononnya mencecah RM67 juta.

Pasangan berusia 47 dan 46 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Selangor di sebuah banglo mewah di Seksyen 7 di Shah Alam pada jam 11.20 malam Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor Mohd Sakri Arifin berkata lelaki itu disyaki menipu lima ahli perniagaan di sekitar Shah Alam dan Klang dengan anggaran kerugian kira-kira RM7.4 juta.

"Di rumah suspek, polis merampas sepasang lengkap uniform polis, sepucuk pistol angin dan sejumlah besar barangan kemas yang dipercayai palsu bagi menipu ahli perniagaan termasuk yang berpangkat Datuk.

"Turut dirampas tiga kad pengeluaran wang automatik, sejumlah cek, slip deposit wang tunai dan buku akaun dari pelbagai bank tempatan," katanya pada sidang media di Shah Alam.

Lelaki itu dikatakan menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman yang kononnya mempunyai pengaruh untuk melobi tender bagi pelupusan barangan rampasan seperti barang kemas, wang serta pemberian lesen senjata api mencecah nilai RM67 juta.

Mohd Sakri berkata mangsa-mangsa mula berasa curiga selepas tidak menerima tender berkenaan sehingga kini walaupun bayaran telah dibuat.

"Mangsa kemudian membuat semakan ke atas suspek di Bukit Aman dan mendapati suspek bukan seorang anggota dan kemudian membuat laporan polis," katanya.

Lelaki itu direman sehingga Isnin manakala perintah reman terhadap isterinya akan dipohon hari ini dalam kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mohd Sakri berkata polis sedang mengesan dua lagi individu yang dipercayai terlibat dalam penipuan itu.

- Bernama