Kerajaan negeri Johor bersedia memberikan bantuan guaman kepada keluarga dan waris mangsa yang terlibat dalam insiden kemalangan maut berbasikal awal pagi semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu diambil bagi membolehkan bantuan guaman bersesuaian dihulurkan kepada semua keluarga dan waris yang terkesan akibat tragedi itu.

"Kerajaan negeri akan membantu keluarga dengan melantik peguam bagi mengkaji tindakan selanjutnya berkaitan kes itu," katanya dalam kenyataan di Johor Bahru semalam.

Beliau berkata selain bantuan dari segi guaman, kerajaan negeri juga turut mengumumkan bantuan segera berjumlah RM1,600 bagi setiap keluarga mangsa yang terkorban.

Katanya bantuan tersebut disalur menerusi agensi negeri dan kerajaan persekutuan termasuk daripada Tabung Khairat Kematian Negeri Johor, Majlis Agama Islam Johor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dalam kejadian 3 pagi semalam, lapan remaja lelaki berbasikal maut apabila dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berusia 22 tahun.

- Bernama