Lokasi tragedi wajar dijadikan litar lajak
ULASAN | Mengambil maklum balas daripada isu rempuhan kenderaan yang membabitkan kematian lapan remaja berbasikal di Johor Bahru semalam, saya melihat sukan berbasikal sudah menjadi trend remaja masa kini.
Saya berpandangan, undang-undang saja tidak mampu membendung kehendak remaja seperti yang berlaku pada pagi semalam.
Kita sebagai masyarakat perlu memikirkan alternatif remaja tersebut dan usaha ini perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan.
Antara alternatif yang boleh disediakan adalah mengadakan litar bajak basikal, seperti di lokasi kemalangan atau tempat yang bersesuaian dengan kehendak remaja.
Jalan raya sedia ada perlu ditutup sementara pada waktu awal malam pada setiap hujung minggu. Penutupan ini perlu dipastikan tidak menganggu waktu puncak pengguna jalan raya.
Litar bersifat sementara perlu mendapat kelulusan kerajaan, dilengkapi alat keselamatan, ruang penonton dan di bawah pemantauan ibu bapa.
Kelebihan alternatif litar lajak, pertamanya, remaja yang terbabit dalam aktiviti ini dapat menyalurkan minat mereka secara positif.
Kedua, perkara seperti kemalangan sebelum ini dapat diminimumkan.
Ketiga, hasil daripada penyediaan litar lajak ini, kita dapat melatih remaja terbabit mematuhi undang-undang.
Keempat, kos yang diperlukan untuk menyediakan litar dapat diminimumkan dan tidak membebankan kerajaan.
Pakar-pakar daripada pelbagai bidang serta remaja perlu dilibatkan untuk merangka litar lajak yang benar-benar dapat digunakan untuk membangunkan minda mereka.
Di negara ini juga kita mempunyai ikon lumba basikal seperti 'The Rocket Pocket Man' Azizulhasni Awang yang juga jaguh bertaraf dunia.
Itu adalah contoh belia yang berjaya dalam bidangnya. Maka daripada itu, bakat remaja berbasikal ini boleh digilap melalui program atau aktiviti yang disediakan ini.
SUHAIZAN KAYAT setiausaha organisasi Parti Amanah Negara merangkap naib pengerusi AMANAH Johor. Artikel ini adalan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini

