Amaran Australia: Pelancong diminta jangan terpengaruh
Pelancong asing tidak harus bimbang dengan amaran terbaru Australia mengenai kemungkinan rancangan pengganas menculik warga asing di tempat peranginan pesisir pantai dan kawasan menyelam di Sabah, kata bekas Ketua Menteri Datuk Salleh Tun Said.
Pelancong asing tidak harus bimbang dengan amaran terbaru Australia mengenai kemungkinan rancangan pengganas menculik warga asing di tempat peranginan pesisir pantai dan kawasan menyelam di Sabah, kata bekas Ketua Menteri Datuk Salleh Tun Said.
"Tidak ada apa yang harus ditakuti kerana Sabah selamat untuk dilawati," katanya kepada Bernama di Kota Kinabalu hari ini, sambil menyifatkan amaran itu sebagai tidak wajar, serta berharap warga asing tidak terpengaruh dengannya.
Salleh, yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, menyambut baik kesungguhan polis untuk meningkatkan kawalan keselamatan di Sabah khususnya di kawasan pantai timurnya.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mangsor Ismail, ketika mengulas amaran itu semalam berkata, polis sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan walaupun amaran seperti itu bukanlah yang pertama dikeluarkan. Sebelum ini, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain pernah berbuat demikian.
Mangsor berkata keadaan keselamatan di Sabah termasuk di kawasan pantai timurnya adalah terkawal.
Jabatan Hal Ehwal Luar Australia, yang mengeluarkan amaran itu menerusi lawanweb www.smartraveller.gov.au, berkata ia menerima maklumat kononnya pengganas merancang untuk menyerang beberapa tempat peranginan yang sering dikunjungi pelancong asing untuk tujuan menculik.
Jurucakap jabatan itu dilaporkan berkata, Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur telahpun memaklumkan ancaman itu kepada kerajaan Malaysia.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata Australia tidak wajar mengeluarkan amaran tersebut sebelum mendapatkan pengesahan daripada Malaysia.
Ikut saluran
Katanya, jika terdapat kemungkinan rancangan penculikan itu, cara terbaik ialah dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia.
"Terdapat saluran komunikasi antara Malaysia dan Australia. Kita tidak dapat menjalankan penyiasatan berdasarkan dakwaan yang disiarkan oleh media," katanya.
Syed Hamid berkata Australia perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa keselamatan Malaysia jika mereka mempunyai maklumat mengenai perkara itu.
"Perkara ini patut dilakukan secara senyap antara agensi penguatkuasa undang-undang. Sekiranya diumumkan melalui media dan membuat dakwaan, ia akan menyukarkan penyiasatan," katanya.
Ditanya mengenai laporan mengenai perkara itu yang turut memetik jurucakap jabatan itu sebagai berkata, Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur telah memaklumkan mengenai perkara itu kepada kerajaan Malaysia, Syed Hamid berkata:
"Sekiranya mereka telah memaklumkan kepada kita, kenapa mereka perlu buat pengumuman. Sekiranya mereka telah berbuat demikian, maka biarlah kedua-dua pihak menyiasatnya," katanya.
Menurutnya, Malaysia memandang berat terhadap sebarang maklumat yang diperolehi dari mana-mana pihak berhubung pengganas.
"Malaysia pada pendapat saya, amat prihatin dengan sebarang maklumat dan kita akan siasat tetapi penyiasatan perlu dilakukan secara rahsia," katanya.

