Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis buru 4 suspek kes bunuh Jong-nam
Diterbitkan:  Feb 19, 2017 4:01 PM
Dikemaskini: 1:43 PM

Polis memburu empat lagi suspek dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam yang juga abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Noor Rashid Ibrahim hari ini bagaimanapun berkata, semua suspek lelaki itu sudah meninggalkan Malaysia pada hari Jong-nam mati pada 13 Februari lalu.

Empat suspek terbabit dikenali sebagai Ri Ji-hyon, Hong Song-hac, O Jong-gil Ri Jae-nam. Kesemua mereka adalah warga Korea Utara.

Menurut Noor Rashid, polis juga sedang mengesan tiga lelaki lain yang dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Seorang daripadanya dikenali sebagai Ri Ji U yang turut menggunakan nama James.

Dua lagi nama individu yang dicari untuk membantu siasatan itu tidak diketahui kerana polis hanya memiliki gambar mereka.

Setakat ini polis sudah menahan dua wanita masing-masing warga Vietnam dan Indonesia. Seorang lagi lelaki - juga warga Indonesia - turut ditahan berhubung kematian Jong-nam.

Sementara itu, Bernama melaporkan, polis sedang memburu tujuh lagi suspek lelaki bagi membantu siasatan kes kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-Un, Isnin lepas.

Noor Rashid berkata kesemua mereka berumur dalam lingkungan 30 hingga 50-an.

Beliau berkata empat daripadanya disahkan warga Korea Utara yang telah melarikan diri ke luar negara pada hari kejadian iaitu Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55 dan Ri Jae Nam, 57.

"Bagaimanapun kami tidak boleh mendedahkan lokasi negara yang mereka pergi kerana masih dalam siasatan.

"Tiga lagi diperlukan bagi membantu siasatan dengan seorang lelaki dikenal pasti sebagai Ri Ji U, 30, yang juga warga Korea Utara dan dua lagi sedang dikenal pasti oleh pihak kami," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurut Noor Rashid, keempat-empat suspek yang melarikan diri ke luar negara itu tiba di Malaysia di antara tempoh 31 Jan hingga 7 Feb.

"Oleh itu, untuk memburu suspek berkenaan, kami akan bekerjasama dengan polis Interpol dari segi perkongsian maklumat," katanya.

Ditanya pemberita sama ada polis akan bekerjasama dengan kerajaan Korea Utara dalam membantu siasatan kes ini, Noor Rashid berkata setakat ini pihaknya tidak akan bekerjasama dengan mana-mana negara kecuali Interpol.

Dalam pada itu, Noor Rashid turut mendedahkan Jong-nam datang ke Malaysia atas urusan peribadi dan enggan mengulas lanjut.

Menyentuh mengenai dua suspek wanita iaitu Doan Thi Huong, 28, yang memegang pasport Vietnam, dan Siti Aisyah, 25, pemegang pasport Indonesia, serta seorang lelaki warga tempatan Muhammad Farid Jallaludin, 26, yang ditahan sebelum ini, beliau berkata mereka direman sehingga Rabu depan.

Suspek keempat iaitu warga Korea Utara dikenali sebagai Ri Jong Chol, 47, yang ditahan semalam, direman sehingga Jumaat depan.

Ditanya mengenai status mayat Jong-nam di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur, Noor Rashid berkata sehingga kini, tiada mana-mana pihak atau waris yang tampil untuk menuntut mayat Jong-nam.

"Oleh itu, polis memberi tempoh dua minggu kepada waris untuk tampil menuntut mayat Jong-nam sebelum kami membuat keputusan selanjutnya.

"Selain itu, waris juga perlu membawa sebarang surat yang boleh membuktikan pertalian keluarga sebelum dibenarkan menuntut mayat berkenaan," katanya sambil menambah punca kematian masih dalam siasatan.

Noor Rashid berkata mayat berkenaan perlu dikenal pasti dan yang paling layak untuk mengenal pasti mayat tersebut adalah waris terdekat.

"Jadi kami perlukan seperti anak, kakak atau adik mangsa untuk membantu mengenal pasti mayat," katanya.

Noor Rashid berkata motif kejadian dan jenis racun yang didakwa membunuh Jong-nam masih dalam siasatan.

"Kami berharap akan dapat jenis sampel racun dengan secepat mungkin yang boleh membantu siasatan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS