Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar dakwa dipukul guru sebenarnya hanya diluku

Pelajar tingkatan empat yang mendakwa dicekik dan ditumbuk seorang guru displin baru-baru ini mengakui dia tidak diperlakukan sedemikian, sebaliknya hanya diluku pada bahagian dahi kerana memberontak.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Omar, Mohd Najib Abu Bakar, berkata melalui mesyuarat khas antara kesemua pihak pada Isnin lalu, pelajar itu mengakui bahawa dia sendiri tidak berpakaian kemas ketika datang ke sekolah.

"Dalam mesyuarat, pelajar itu mengakui diluku (ketuk) pada bahagian dahi kerana memberontak apabila ditegur kerana tidak memasukkan bajunya ke dalam seluar tetapi tidak pula ditumbuk dan ditendang seperti laporan sebelum ini," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Pada kejadian 7.45 pagi 8 Feb lalu, pelajar itu mendakwa dicekak, ditumbuk di belakang kepala, dan ditendang seorang guru disiplin di hadapan pintu pagar sekolah kerana dikatakan tidak berpakaian kemas.

Bapa pelajar itu membuat laporan polis setelah tidak berpuas hati dengan tindakan guru disiplin itu yang dikatakan telah mencederakan anaknya.

Mohd Najib bagaimanapun kesal kerana mesyuarat yang diadakan itu masih gagal mencapai jalan penyelesaian disebabkan bapa pelajar itu yang berusia 38 tahun masih mahu mengambil tindakan undang-undang.

"Saya syorkan bapa mangsa agar tidak meneruskan tindakan tersebut kerana ia akan berlarutan dan seterusnya memberi kesan kepada pelajar berkenaan untuk proses mahkamah dan sebagainya," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera.

- Bernama

Lihat Komen
ADS