Terjemahan Sebanyak 25 badan yang mewakili rakyat Malaysia yang menjadi mangsa Perang Dunia Kedua merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Jepun untuk menuntut semula wang tunai yang dirampas oleh tenteta Jepun ketika itu.

Menurut peguam Ser Choong Wing, yang mewakili badan-badan tersebut, tindakan undang-undang itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 'dalam masa dua tiga bulan lagi'.

Menurutnya, antara bulan Februari dan Julai 1942, tentera Jepun pimpinan Lt-Jen Tomoyuki Yamashita, telah memberitahu masyarakat Cina di sini dan Singapura supaya 'menyumbang' wang yang banyak kepada pihak pentadbir tentera sebagai 'tanda penghargaan kerana mereka dibiarkan hidup'.

Menurut dokumen arkib, jumlah yang dibayar dalam bentuk cek kepada Tomoyuki berjumlah 50 juga dolar selat.

"Pasukan peguam kami sedang memuktamadkan proses menentukan jumlah wang terbabit dan penukaran nilai matawang bagi Semenanjung Malaysia. Pelanggan kami, antara lain, menuntut ianya dibayar bersama faedahnya sekali," kata Ser.

Beliau juga mendedahkan, antara mereka yang membuat tuntutan itu ialah dua persatuan Cina di Selangor yang masih menyimpan resit bagi pembayaran tersebut.

Pameran

Dalam perkembangan lain, satu pameran peringkat nasional mengenai sejarah perang pasukan menentang pendudukan Jepun, akan diadakan mulai 14 Ogos di Taman Peringatan Nilai sempena ulangtahun pembebasan Malaya.

Menurut pengerusi pameran tersebut, Tan Kai Hee, Republik Rakyat China telah bersetuju menyumbang 90 bahan untuk dipamerkan di Malaysia. Tan adalah Setiausaha Agung Persatuan Persahabatan Malaysia-China.

Pameran itu juga akan diadakan di Johor Baru, Muar, Seremban, Kampar, Ipoh, Penang, Alor Setar, Kuantan, Kuala Trengganu dan Kota Baru.

Sewaktu Perang Pasifik tersebut, Tentera Maharaja Jepun telah menyerang dan menduduki Semenanjung Malaysia dan Singapura selama 44 bulan.