Mara juga taja pelajar menuntut di CSMU Ukraine
Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga terbabit dengan penajaan pelajar perubatan yang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Perubatan Crimea State (CSMU), Ukraine.
Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga terbabit dengan penajaan pelajar perubatan yang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Perubatan Crimea State (CSMU), Ukraine.
Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya, Datuk Zamani Md Noor berkata, Mara telah menaja 40 pelajar perubatan di CSMU sebelum tahun 2001, iaitu sebelulm Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menarik balik pengiktirafan terhadap ijazah perubatannya.
Oleh itu, katanya, Mara akan terus menaja pelajar terbabit yang menuntut dalam pelbagai peringkat dan mereka akan meneruskan pengajian sehingga selesai.
Beliau memberitahu demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas status pelajar perubatan tajaan Mara CSMU selepas kerajaan menarik balik pengiktirafan terhadap universiti tersebut.
Katanya, Mara tidak akan menghantar pelajar baru ke sana selepas ini dan akan mencari universiti lain di beberapa negara untuk membolehkan pelajar melanjutkan pelajaran perubatan
mereka.
Menurutnya, kebanyakan pelajar yang berada di Ukraine itu pergi dengan pembiayaan sendiri dan kemudiannya memohon tajaan MARA selepas lulus tahun pertama pengajian mereka.
Bagaimanapun, pada masa akan datang, MARA akan menghantar pelajarnya sendiri selepas mereka menamatkan "Diploma in International Baccaulaurette" (IB) di Kolej Mara di Banting dan Seremban.
Zamani berkata, Mara sedang melihat kepada beberapa negara lain yang sesuai untuk penghantaran pelajar perubatan ini antaranya negara Asia Barat, Eropah, United Kingdom, New Zealand, Australia, Indonesia dan India.
Berikutan kekurangan sumber kewangan, katanya, MARA hanya mampu menghantar kira-kira 300 pelajar perubatan ke luar negara setakat ini.
MRSM baru
Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, MARA akan menumpukan perhatian kepada penghantaran pelajar bagi kursus kritikal di luar negara.
Katanya, peruntukan sebanyak RM150 juta diperlukan bagi menampung Skim Pelajar Cemerlang dan kuota pelajar akan ditambah daripada 700 orang kepada 1,000 orang.
Melalui skim itu, katanya, pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM dan memohon mengikuti kursus kritikal di universiti ternama yang diiktiraf akan diberi keutamaan untuk mendapatkan penajaan pelajaran.
Zamani juga berkata, MARA akan membina 14 lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tahun ini bagi menampung keperluan pendidikan pelajar Melayu di negara ini.
Katanya, lokasi yang telah dipilih ialah di Bertam (Pulau Pinang), Kubang Pasu dan Merbok (Kedah), Perlis, Pengkalan Hulu dan Kuala Kangsar (Perak), Betong dan Mukah (Sarawak), Gemencih (Negeri Sembilan), Alor Gajah (Melaka), Pekan dan Bentong (Pahang), Tawau (Sabah) dan Dungun (Terengganu).
Setakat ini, terdapat 32 buah MRSM dan empat Kolej MARA di negara ini dan menurut Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8), perlu ada 50 buah MRSM di seluruh negara.
Katanya, pertambahan 14 buah MRSM itu boleh menampung kira-kira 3,000 pelajar lagi dan pembinaannya menelan belanja antara RM30 juta dan RM40 juta.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.