Terjemahan Jawatankuasa Pusat MCA hari ini memendek tempoh pengantungan selama setahun ke Timbalan Ketua Wanita MCA, Dr Tan Yee Kew kepada enam bulan bagi kesalahan melanggarkan kod etika parti.

Keputusan tersebut dibuat selepas jawatankuasa berkenaan bermesyuarat selama empat jam hari ini untuk menimbang rayuan Dr Tan terhadap pengantungannya itu.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Dr Ting Chew Peh, ketika dihubungi, berkata beliau tidak dapat mengulas lanjut sebab-sebab tempoh pengantungan Dr Tan dipendekkan kepada enam bulan.

Apabila ditanya sama ada ianya keputusan sebulan suara oleh 41 ahli jawatankuasa tersebut, beliau berkata: "Ianya adalah keputusan bersama".

Awal bulan ini, Majlis Presiden MCA menjatuhkan hukuman pengantungan setahun ke atas Dr Tan kerana mengedarkan rakaman video kepada pihak media, mengenai pergaduhan dalam pemilihan cawangan.

Walaupun hukuman tersebut telah diringankan, tetapi Dr Tan masih tidak boleh bertanding dalam pemilihan MCA peringkat negeri Selangor esok dan pemilihan peringkat pusat Ogos ini.

"Saya kecewa kerana saya tidak berpeluang untuk bertanding. Saya akan memikirkan semua ini, bercakap kepada lebih ramai orang, sebelum memutuskan langkah saya seterusnya...supaya dapat membuat keputusan yang betul," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, ahli politik berusia 52 tahun itu, enggan mengulas lanjut bila ditanya apakah yang dimaksudkannya dengan 'membuat keputusan yang betul".

Dr Tan yang membela diri sewaktu mesyuarat jawatankuasa itu pagi ini, adalah ahli Parlimen Klang dan Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

'Perlu masa untuk berfikir'

Ditanya sama ada beliau akan melepaskan jawatannya dalam kerajaan, Dr Tan berkata: "Saya tidak mahu bercakap terlalu banyak sekarang...saya memerlukan masa untuk berfikir."

"Saya tidak akan dapat menyertai aktiviti politik untuk sementara waktu selama enam bulan ini, tetapi ia tidak bermakna yang saya juga tidak akan melakukan tugas saya dalam kerajaan," katanya.

Ditanya sama ada pengantungan itu adil ke atasnya, Dr Tan enggan mengulas lanjut kecuali berkata ianya adalah keputusan parti dan beliau mematuhinya.

Menjawab soalan lagi, beliau berkata, para penyokongnya kecewa dengan keputusan jawatankuasa pusat hari ini dan menasihatkan mereka supaya bertenang.