Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid tentulah tak perlu PERMATA, sindir Rizal
Diterbitkan:  Feb 20, 2017 4:47 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Pembantu isteri perdana menteri Datuk Rizal Mansor membidas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kerana mahu memansuhkan Program Permata Negara (PERMATA).

Pada masa yang sama, Rizal turut berharap agar Khalid, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan Liew Chin Tong merujuk kepada Yeo Bee Yin dari DAP untuk mendapatkan penjelasan mengenai program tersebut.

"Bagi orang berada seperti Khalid sudah tentu tidak memerlukan PERMATA kerana mampu menghantar anak dan cucu ke pusat asuhan dan pendidikan awal swasta yang mahal.

"Tapi bagaimana dengan nasib anak-anak di luar bandar.

"Tidakkah mereka juga patut mendapat pendidikan awal kerajaan yang setaraf dengan apa yang Khalid mampu berikan kepada keluarganya di pusat-pusat asuhan swasta," tanya Rizal.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab tuntutan pembangkang yang menuntut pemansuhan beberapa lagi jawatan, kementerian dan badan antaranya PERMATA bagi menjimatkan wang kerajaan.

“Penyusunan semula adalah lebih baik daripada mengurangkan penjawat awam melainkan untuk jabatan-jabatan yang melibatkan pelantikan kuota parti politik,” menurut kenyataan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dikeluarkan secara bersama oleh Saifuddin Nasution, Liew (DAP) dan Khalid (AMANAH).

Selain PERMATA, pakatan tersebut turut mencadangkan pemansuhan Kementerian Wilayah Persekutuan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Biro Tatanegara (BTN).

Peruntukan PERMATA itu dicadang diagihkan semula kepada agensi-agensi pendidikan awal kanak-kanak sedia ada seperti yang sedang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan.

Mengulas lanjut, Rizal berkata, pihaknya telah menjelaskan dengan panjang lebar kepada wakil-wakil DAP yang membuat lawatan di PERMATA.

"Malah wakil-wakil itu berpuas hati dengan hasil lawatan dan pembentangan tentang keseluruhan operasi PERMATA," tambahnya.

Sebelum ini, Yeo yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama diundang oleh Rizal melawat PERMATA selepas melahirkan hasrat itu bagi mendapat gambaran penuh berkaitan program itu.

Undangan itu dibuat selepas dengan tidak disangka-sangka, PERMATA mendapat pembelaan Yeo.

Lihat Komen
ADS