Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Terima kasih Kit Siang tapi tak perlulah, kata Annuar
Diterbitkan:  Feb 20, 2017 9:26 PM
Dikemaskini: 1:29 PM

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa mengucapkan terima kasih kepada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang atas kesanggupan beliau untuk menyertai siri jelajah Umno dan BN.

Namun, kata Annuar, platform UMNO adalah sangat tidak sesuai utk ahli politik seperti Kit Siang yang didakwanya mengamalkan sosialisme, kronisme dan nepotiame.

"Kit Siang memberi saya tempoh 48 jam untuk memberi maklum balas, saya ucapkan terima kasih atas tawarannya itu.

"Bagaimanapun sukacita saya tegaskan Umno sebuah parti yg sentiasa menjaga kedaulatan Perlembagaan negara, pelopori kesederhanaan, sentiasa menjunjung tinggi prinsip rukun negara, mempertahankan muafakat pelbagai kaum dan agama, saling hormat menghormati serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

"Oleh kerana mengikut Tun Dr Mahathir Mohamad, Kit Siang seorang yg rasis, tidak menghormati syariah dan agama Islam selain kuat mengamalkan dasar sosialisme, kronisme dan nepotisme maka platform Umno adalah sangat tidak sesuai untuk ahli politik sedemikian," katanya dalam kenyataan.

Awal hari ini, Kit Siang menawarkan dirinya untuk berucap di siri jelajah Umno dan BN berhubung keputusan kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kerugian perdagangan pertukaran asing (forex) Bank Negara yang berlaku sekitar tahun 1990-an.

"Annuar perlu memaklumkan dalam tempoh 48 jam akan datang sama ada saya perlu menjadual semula program mulai 25 Feb ini jika mahukan saya berucap di siri jelajah Umno dan BN yang akan dilancarkan Sabtu ini," kata Kit Siang lagi.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pihaknya juga khuatir jika Kit Siang akan terus mengambil kesempatan untuk membela anaknya, Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang dalam menghadapi pendakwaan di mahkamah.

"Justeru, penyertaan Kit Siang dalam siri jelajah penerangan Umno adalah tidak sesuai dan tidak diperlukan," tambah Annuar.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tidak ada keperluan untuk 1MDB disiasat bersama skandal forex kerana 1MDB telahpun disiasat.

Kata Azalina, Kit Siang sekadar cuba untuk mempengaruhi terma rujukan siasatan tukaran mata wang asing untuk memenuhi agenda politiknya.

"Sukarela bersyarat yang dikenakan Kit Siang terbukti sebagai usaha memberikan rujukan syarat-syarat bermotifkan politik.

"Kit Siang (gambar) sepatutnya datang dengan tangan yang bersih jika mahu untuk membantu pasukan petugas itu," ujar Azalina dalam kenyataan.

Lihat Komen
ADS