Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Nasib Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berhubung kenyataannya ketika sidang dewan 1 Nov tahun lepas hanya akan diketahui Mac depan.

Pengerusi jawatankuasa itu Hannah Yeoh berkata mesyuarat hari ini hanya akan membincangkan hasil pendengaran Mat Nadzari sebelum ini.

Bagaimanapun, kata Hannah satu penyata akan dibentangkan pada sidang DUN Mac ini berhubung keputusan yang dicapai menerusi jawatankuasa itu untuk dibahaskan.

"Jawatankuasa akan bercakap mengenainya sama ada ADUN Batang Kali harus meminta maaf, digantung atau tidak ada apa-apa tindakan.

"Perkara tersebut akan dibincangkan dan akan diletakkan dalam satu penyata manakala penyata itu akan dibahaskan dalam sidang DUN, Mac depan dan selepas itu barulah ada keputusan," katanya kepada pemberita di pejabat DUN Selangor, di Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata selepas penyata itu dibentangkan dan diluluskan dalam dewan barulah keputusan muktamad mengenai nasib Mat Nadzari diperoleh secara sah.

Mat Nadzari pada sidang DUN November lalu dilapor mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat isi ataupun niat dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tidak mengiktiraf sistem raja berperlembagaan.

Wakil rakyat BN itu juga diminta menjelaskan kenyataannya bahawa “sebahagian daripada komponen dalam pentadbiran” Azmin mahu menubuhkan konsep “demokrasi sosial di Malaysia menerusi perjuangan sistem parlimen berperlembagaan”.

Sementara itu, Hannah mengingatkan semua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes itu selagi dewan belum bersidang.

"Saya meminta semua pihak sebelum penyata itu dibentangkan di dalam dewan nanti," tambah Hannah.

Lihat Komen
ADS