Najib: Kekosongan jawatan naib presiden Umno tidak akan diisi
Kekosongan yang berlaku dalam salah satu daripada tiga jawatan naib presiden Umno berikutan penggantungan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selama enam tahun, tidak akan diisi sehingga pemilihan akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kekosongan yang berlaku dalam salah satu daripada tiga jawatan naib presiden Umno berikutan penggantungan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selama enam tahun, tidak akan diisi sehingga pemilihan akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, Umno akan hanya mempunyai dua naib presiden jika apa-apa keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin mengenai Mohd Isa disahkan.
"Jawatan naib presiden (yang kosong) tak akan diisi sehingga pemilihan akan datang," katanya setelah melepaskan peserta Mencari Harta Karun Wangsa Maju pagi ini.
Lembaga Disiplin Umno dalam mesyuarat lebih dua jam semalam mengambil keputusan menggantung keahlian Mohd Isa selama enam tahun atau dua penggal selepas didapati bersalah melanggar tataetika parti menjelang pemilihan Umno September tahun lalu.
Menurut laporan Bernama, dengan keputusan itu Mohd Isa terlucut jawatan naib presiden yang dimenanginya dalam pemilihan tujuh penjuru tahun lalu.
Beliau memperolehi undi tertinggi sebanyak 1,507 undi, diikuti Ketua Menteri Melaka
Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).
Kosongkan jawatan
Mengenai jawatan Mohd Isa sebagi Menteri Wilayah Persekutuan, Najib berkata ini terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membuat keputusan.
Berhubung prosedur yang ditetapkan jika terdapat mana-mana pemimpin parti dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin, Najib berkata mengikut keputusan yang dibuat baru-baru ini mereka yang dikenakan tindakan perlu mengosongkan jawatan buat sementara sehingga menunggu keputusan terhadap rayuan mereka.
"Mereka perlu kosongkan jawatan itu buat sementara waktu...jika rayuan berjaya boleh ambil balik (jawatan) jika tak, mereka terpaksa lepaskan jawatan untuk tempoh hukuman yang ditetapkan oleh Lembaga Disiplin," katanya.
Najib berkata umno juga telah menetapkan dasar bahawa jika seseorang yang dikenakan tindakan itu mempunyai jawatan kerajaan, jawatan itu masih boleh dipegang sehingga rayuan diputuskan oleh Lembaga Disiplin parti.
"Bagaimanapun, keputusan muktamad masih terletak di tangan presiden parti dan anggota Majlis Tertinggi.
"Dari segi kerajaan pula Perdana Menteri berhak membuat keputusan (mengenai kedudukan Menteri Wilayah Persekutuan) pada bila-bila masa," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.