Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rafizi petik surat PMO, suami Madinah jelaskan isu kebankrapan

Ada pihak dikatakan cuba mempertikaikan pelantikan Tan Sri Madinah Mohamad sebagai Ketua Audit Negara yang baru selepas suaminya, Datuk Rizuan Abdul Hamid, pernah menyatakan kesediaannya "mati" untuk Datuk Seri Najib Razak.

Bagi ahli parlimen PKR Rafizi Ramli, beliau mengketengahkan semula isu sepucuk surat daripada Pejabat Perdana Menteri kepada Malaysia Building Society Berhad (MBSB) yang tersebar di media sosial sejak Mei tahun lalu.

Rizuan yang juga adalah Ketua Umno Bahagian Kepong, mengakui bahawa Najib cuba untuk membantunya dalam menyelesaikan isu pinjaman RM12 juta di luar mahkamah dua tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau, menafikan bahawa surat yang ditulis oleh Tan Sri Shukry Mohd Salleh, Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib, itu bertujuan untuk mengketepikan notis kebankrapan itu.

"Najib tidak minta untuk mengketepikan isu kebankrapan (saya), dia hanya minta MBSB untuk berbincang dan mencari penyelesaian," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata surat yang dimiliki oleh Naib Presiden PKR itu adalah sekadar surat sokongan, dan Najib hanya meletakkan catatan meminta penyelesaian di luar mahkamah pada halaman lain surat itu.

"Najib tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal MBSB.

“Jika Najib campur tangan, MBSB tidak akan saman saya tiga kali sebelum saya menyelesaikan pinjaman itu,” katanya.

Rafizi sebelum ini mendakwa memiliki surat yang dikeluarkan oleh perdana menteri untuk membereskan hutang Rizuan.

Surat rasmi dari Pejabat Perdana Menteri itu bertajuk "Mohon Arahkan MBSB Ketepikan Notis Kebankrapan dan Penyelesaian Pinjaman Bank di luar Mahkamah" dan bertarikh 20 Oktober 2015.

Dalam surat itu, Rizuan dikatakan telah mengemukakan permohonan kepada perdana menteri bagi mengketepikan notis kebankrapan itu berhubung pembinaan sepuluh unit banglo di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Rizuan mengakui beliau memohon bantuan Najib selepas mendapati dirinya tidak dapat membiayai pinjaman dan faedah hutang itu selepas bertindak sebagai penjamin kepada kawan-kawannya, yang adalah pengarah syarikat.

"Kawan-kawan saya mahu mendapatkan pinjaman daripada MBSB untuk membina 10 banglo, tetapi sebuah syarikat lain menarik diri daripada perjanjian usaha sama itu apabila mereka berdepan dengan masalah kewangan dan mahu mengumpul wang," katanya.

"Saya pergi berjumpa dengan Datuk Seri Najib, mintanya beritahu MBSB untuk penyelesaian di luar (mahkamah) kerana kita mampu bayar," katanya.

"Saya tidak bersalah, saya tidak ada kena mengena dengan syarikat itu, saya hanya membantu rakan saya," katanya sambil menambah jumlah itu diselesaikan selepas menjual sebidang tanah bernilai RM30 juta.

Madinah, yang juga adalah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, akan menggantikan Tan Sri Amrin Buang sebagai Ketua Audit Negara.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS