Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis tolak siasatan bersama Korea Utara
Diterbitkan:  Feb 22, 2017 7:20 PM
Dikemaskini: 11:22 AM

Polis Diraja Malaysia menolak cadangan pihak berkuasa Korea Utara supaya diadakan siasatan bersama berhubung kes pembunuhan seorang warga Korea Utara, Kim Jong-nam, pada 13 Feb lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Tiada... perkara ini dalam bidang kuasa kami, bukan mereka," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjawab soalan sama ada Malaysia akan bersetuju dengan tuntutan dan permintaan Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol, supaya siasatan bersama diadakan berhubung kes pembunuhan itu.

Isnin lalu, Kang Chol mendesak supaya Korea Utara dibenarkan menyertai siasatan terhadap kematian seorang warganegaranya selepas menuduh Malaysia "bersekongkol dan mengikut selera kuasa luar".

Kerajaan Malaysia menolak dakwaan tidak berasas itu.

Dalam kenyataan pada Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membidas dakwaan Korea Utara itu dan mempertahankan profesionalisme serta kesaksamaan pihak berkuasa Malaysia dalam mengendalikan siasatan berkenaan.

Najib berkata polis dan doktor Malaysia sentiasa profesional serta saksama dalam mengendalikan siasatan itu.

Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, meninggal dunia pada 13 Feb semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Beliau sebelum itu dilaporkan berada di KLIA2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita dikatakan menyapu mukanya dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS