Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siapkan kertas siasatan kes cabul di Maahad Tahfiz

Polis Perak sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan pencabulan seksual dan seks luar tabii membabitkan
pelajar di Maahad Tahfiz Darul Barakah di Manjoi, Ipoh milik pendakwah terkenal Datuk Mohd Kazim Elias.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Gan Tian Kee berkata pihaknya telah diarah oleh Jabatan Peguam Negara untuk melakukan siasatan secara menyeluruh berhubung kes itu yang didakwa berlaku pada Ogos tahun lepas.

Gan berkata pihaknya juga telah memanggil beberapa saksi untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

"Kertas siasatan sudah hampir siap dan polis akan menyerahkannya tidak lama lagi kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Perak Tengah di
Seri Iskandar hari ini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 377E iaitu merangsang seorang kanak-kanak (di bawah 14 tahun) untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan, jika
sabit kesalahan.

Pada majlis itu, bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mohamad Zainal Abdullah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Perak Tengah yang baharu berkuatkuasa hari ini menggantikan Supt Aziz Hassan yang bersara wajib. -Bernama

Lihat Komen
ADS